fbpx

Cubaan lari dari polis berakhir selepas motosikal rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar cubaan melarikan diri mat rempit tersebut di Jerantut semalam.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

JERANTUT – Bukan sahaja melarikan diri daripada polis, seorang mat rempit bertindak berani melakukan aksi Superman serta zig zag ketika dikejar anggota polis yang melakukan operasi Samseng Jalanan di Jalan Jerantut-Temerloh di sini semalam.

Namun tindakan nekad remaja berusia 17 tahun itu sia-sia selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya rosak di Kilometer 8 Jalan Jerantut Temerloh semalam.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu sepasukan anggota polis terserempak sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Kilometer 19 Jalan Jerantut-Temerloh di sini.

“Kumpulan penunggang motosikal tersebut bertindak melarikan diri dengan menunggang laju menghala ke bandar Jerantut dan pada masa polis mengenalpasti seorang penunggang motosikal menunggang dengan laju secara meluru sambil melakukan aksi superman, zig zag dengan cara berbahaya bagi menghalang tangkapan dilakukan.

“Polis telah mengekori rapat sehingga motosikal jenis Honda EX 5 tersebut mengalami kerosakan sebelum penunggang berjaya ditahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mazlan, remaja berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan lima pelajar tingkatan lima yang terlibat dalam aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya semalam.

Katanya, kelima-lima remaja berkenaan datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selepas aksi berbahaya mereka berjaya dirakam polis.

“Dalam Ops Samseng 10 September lalu, sekumpulan remaja bermotosikal yang tidak memakai topi keledar melakukan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain bertujuan menunjukkan kehebatan masing masing serta telah mengubah struktur motosikal.

“Pihak polis kemudian merakam aksi kumpulan tersebut seterusnya mengecam motosikal digunakan sebelum mengarahkan kumpulan berkenaan hadir ke IPD Jerantut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI