fbpx
Tangkap layar menunjukkan seorang wanita dibunuh secara kejam sebenarnya dilaporkan berlaku di Brazil.

PDRM nafi kes pembunuhan tular berlaku di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan satu video pembunuhan kejam membabitkan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang tular di media sosial.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu sebenarnya berlaku di Brazil.

Katanya, pegawai yang dikaitkan dalam klip video itu sudah membuat laporan polis di Shah Alam dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai satu bentuk ugutan jenayah.

“Kes disiasat mengikut 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan bunuh, Seksyen 509 akta sama kerana perbuatan mengaibkan kehormatan serta Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 32 saat menunjukkan seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam tular di media sosial.

Selain itu, beberapa keping gambar seorang pegawai wanita berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di IPK Selangor di turut ditularkan bersama kononnya pegawai itu adalah mangsa pembunuhan. – K! ONLINE