fbpx

366,787 penduduk Kota Setar kena kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar, Kedah mulai hari ini sehingga 25 September depan membabitkan 366,787 penduduk di daerah Zon Merah itu.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam selepas mengambil kira peningkatan kes di Kluster Sungai dan Telaga di Kedah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan keluar ma­suk penduduk di daerah itu adalah dilarang dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam juga dihentikan sementara waktu sehingga tamat PKPD.

“Perkhidmatan feri di Kuala Kedah juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPD ini dan orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Perge­rakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk sekolah, taska dan pusat tuisyen turut diarah tutup sepanjang tempoh PKPD.

“Sesi pengajian di semua universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta termasuk Institut Latihan Kemahiran di daerah Kota Setar turut ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata, hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

“Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Operasi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan juga boleh beroperasi sehingga 8 malam, manakala klinik dan hospital pula dibenar beroperasi 24 jam,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, operasi pasar malam serta pasar tani tidak dibenarkan dan hanya pasar ha­rian boleh beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 2 petang.

“Stesen minyak dan kedai runcit pula, waktu operasi ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam. Selain itu, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.

“Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka yang terlibat dibenarkan keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD.

“Majikan diminta untuk mengambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut melaksanakan PKPD di kawasan Penjara dan Kuarters Penjara Tawau bagi tempoh sama iaitu mulai hari ini hingga 25 September depan dengan mengambil kira penularan kes jangkitan Covid-19 di Tawau yang turut dikategorikan sebagai Zon Merah.

Katanya, PKPD itu akan melibatkan banduan, 114 anggota dan 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Amanjaya yang sepatutnya tamat semalam dilanjutkan selama tiga hari sehingga 13 September bagi memastikan semua penduduk yang terlibat menjalani ujian saringan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI