fbpx

Pereka grafik maut rumah sewa terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengangkat mayat mangsa keluar dari rumah sewanya di Jalan Pokok Saga, Taman Lintang, Ayer Itam di sini awal pagi tadi.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang pereka grafik sambilan wanita maut selepas rumah sewa teres dua tingkatnya hangus terbakar di Jalan Pokok Saga, Taman Lintang, Ayer Itam di sini awal pagi tadi.

Mayat Choi Hooi Hong, 50-an yang dikatakan masih bujang itu ditemui dalam keadaan terlentang di tingkat bawah rumah berkenaan kira-kira pukul 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati wanita itu cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari pintu hadapan tetapi gagal.

“Dia (si mati) tinggal seorang diri di dalam kediaman tersebut dan akibat kejadian itu, mayat mangsa ditemui hampir terbakar seluruh anggota badan.

“Siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba dan punca kematianya adalah disebabkan kebakaran yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelasnya lagi, kebakaran itu turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik majikan mangsa.

Sementara itu, jurucakap bomba negeri pula memberitahu, kejadian tersebut membabitkan dua buah kediaman yang terletak secara bersebelahan kira-kira pukul 2 pagi tadi.

“Mayat wanita terbabit dijumpai di kediaman pertama yang membabitkan 85 peratus anggaran kemusnahan.

“Api berjaya dikawal pada pukul 3.05 pagi dan mayat wanita itu ditemui sebaik kerja-kerja pemadaman dijalankan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI