fbpx

14 ekor kambing mati kena gigitan misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salma (duduk) menunjukkan kambing ternakannya yang mati selepas diserang haiwan misteri di Kampung Mesa, Tok Uban dekat Pasir Mas kelmarin

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS – Seorang penternak mendakwa mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas 14 ekor kambing peliharaannya mati diserang haiwan misteri dalam kejadian di Kampung Mesa, Tok Uban di sini kelmarin.

Penternak kambing itu, Salma Mat Daud, 60, berkata, kejadian tersebut disedarinya pada pukul 11.30 pagi ketika mahu mengalih­kan ternakan yang ditambat dalam kebun kira-kira 100 meter dari kawasan rumah ke kandang.

Menurutnya, dia terkejut mendapati ternakannya itu mati dalam keadaan bergelimpangan ketika tiba di kebunnya.

“Saya kemudian periksa haiwan terbabit dan mendapati ada kesan gigitan pada bahagian leher kambing.

“Selain itu, kesan gigitan turut dilihat pada bahagian punggung haiwan terbabit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Mesa di sini semalam.

Salma memberitahu, selepas kejadian itu, dia telah melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, laporan itu dibuat susulan daripada penemuan beberapa kesan tapak kaki haiwan lain yang terdapat di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mengenal pasti tapak kaki itu milik haiwan liar sama ada ia anjing atau harimau bintang.

“Kawasan ini memang ada anjing liar, namun ia tidak pernah mengganggu ternakan penduduk sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, sumber Perhilitan Negeri Kelantan ketika dihubungi Kosmo! berkata, siasatan pihaknya terhadap kambing-kambing yang mati itu mendapati kematian haiwan berkenaan bukan disebabkan oleh harimau.

“Kami syak kambing-kambing itu mati akibat segerombolan anjing liar yang berkeliaran dalam kawasan kampung kerana haiwan itu mati dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Tambahnya, beliau menyarankan penduduk kampung membina pagar untuk mengelakkan kejadian sama berulang lagi dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI