fbpx

Hanya pembiakan jentik-jentik ditemui MPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa MPK menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kilang alat ganti kenderaan di Sungai Pinang, Klang yang didakwa berada di rizab sungai dan cemar air.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Tiada pencemaran sebaliknya tempat pembiakan jentik-jentik dikesan di sebuah kilang alat ganti kenderaan di Sungai Pinang di sini.

Demikian hasil pemeriksaan oleh Majlis Perbandaran Klang ( MPK ) bermula pukul 9 pagi tadi susulan dakwaan kilang tersebut yang berada di kawasan rizab sungai dan berpotensi menyebabkan pencemaran.

Dakwaan itu dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan menerusi ciapan di laman Twitter sebelum turut dikongsi Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di laman sosial sama.

Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pemeriksaan disertai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati longkang premis itu berada dalam keadaan baik dan tiada kesan minyak serta pelepasan dilakukan ke Sungai Klang.

“Selain itu, siasatan mendapati premis tersebut tidak berada dalam kawasan rizab sungai seperti yang tular di media sosial.

“Pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan dan tiada pencemaran berlaku namun pemantauan terhadap kilang berisiko akan diteruskan di seluruh daerah ini, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, bagaimanapun hasil pemeriksaan mengesan tempat pembiakan jentik-jentik di kawasan kereta lusuh yang digunakan sebagai benteng sempadan sungai.

“Sampel jentik-jentik sudah dibawa ke makmal, kompaun akan dikeluarkan sekiranya ia diklasifikasikan sebagai nyamuk Aedes,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pencemaran daripada kilang di daerah ini diminta menyalurkannya kepada MPK untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI