fbpx

Emosi Tasha Manshahar kini stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TASHA MANSHAHAR

MENYEDARI nyanyian sebenarnya bukan lagi keutamaan dalam hidupnya, sementelah sudah hampir tiga tahun meninggalkan pentas seni, Tasha Manshahar bulat hati mahu bersara.

Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd. Manshahar, 28, kini selesa dengan kerjayanya sebagai seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Melaka.

Meskipun sering muncul di kaca televisyen, dia tidak akan menyanyi semula, namun ingin menumpukan dengan tugasnya sebagai pendidik dan pempengaruh media sosial.

Ikuti temu bual bersama penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Terima Kasih Cinta itu usai majlis pelantikan dirinya sebagai salah seorang duta produk kecantikan tempatan di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Tasha ceritakan keputusan untuk bersara daripada nyanyian?
TASHA: Sudah lebih tiga tahun saya tinggalkan dunia nyanyian dan tidak pernah rasa menyesal dengan keputusan untuk bersara. Alhamdulillah hidup semakin stabil sekarang ini.

Sebelum ini, saya ada sebut tentang hasrat mahu bersara. Pengalaman selama lima tahun lalu sudah cukup mengajar saya. Jadi, bidang perguruan menjadi dunia saya ketika ini.

Adakah anda sudah berputus asa dengan bidang seni?
Saya tidak putus asa tetapi lebih baik saya beri peluang kepada bakat-bakat baharu. Mereka lebih memerlukan peluang itu berbanding saya.
Minat saya dalam nyanyian juga tidak seperti dahulu lagi.

Mungkin sebab persekitaran saya sudah berbeza, individu sekeling dan mentaliti juga berlainan ketika ini. Apa pun, saya tetap sokong rakan-rakan saya dalam industri. Malah, saya berhenti menyanyi bukan kerana takut dengan apa-apa. Masa saya masuk industri dahulu pun saya pernah jelaskan yang saya bukan mahu bersaing dengan sesiapa. Semuanya kerana minat. Sudah tiba masanya untuk saya bagi peluang kepada orang lain.

TASHA MANSHAHAR kini bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah
di Melaka. – Foto FARIZ RUSADIO

Jadi, anda hanya mahu berhenti menyanyi dan meninggalkan terus dunia hiburan?
Ya. Emosi, fizikal dan mental saya juga sudah semakin stabil. Sebab itu saya ambil keputusan untuk muncul semula dan bergiat aktif dalam bidang lain, namun tidak merancang untuk menyanyi semula. Sekiranya ada tawaran dalam bidang pengacaraan, saya akan pertimbangkan.

Kini saya lebih selesa dengan bidang perguruan. Saya memandang tinggi semua kerjaya. Tak kiralah apa pun kerjaya, semua orang ada tugas masing-masing untuk bantu masyarakat terus membangun.

Untuk jangka masa panjang, lebih baik saya dikenali sebagai guru. Malah kelebihan saya ketika ini mungkin mempunyai ramai pengikut dalam media sosial.
Perkara itu akan dapat membantu saya menyebarkan perkara baik secara lebih meluas berbanding guru lain.

Boleh anda perincikan apakah maksud tentang kestabilan emosi itu?
Mungkin ketika awal kemunculan dahulu, usia saya masih muda. Macam-macam yang berlaku ketika itu. Banyak juga impaknya terhadap mental saya. Jadi saya memang ambil masa untuk berehat dan belajar menjadi lebih baik.

Saya rasa dah tiba masa untuk beralih ke fasa yang lain, lebih dewasa. Mungkin sesuatu yang lebih sesuai dengan imej saya sebagai seorang guru, ibu dan isteri.
Selain itu, saya mahukan cabaran lain. Bagi saya bidang perguruan dan nyanyian bukan tidak selari tetapi kedua-duanya tidak akan bertemu pada satu titik yang sama.

Sepanjang menyepi daripada dunia hiburan, anda pernah menyuarakan hasrat untuk berpurdah. Namun ada netizen yang mempersoalkan mengapa kini anda tidak lagi berpurdah, boleh jelaskan mengenai perkara itu?
Saya tak pernah kata yang saya akan berpurdah sepenuhnya. Sebelum ini saya memakainya sebab waktu itu baru memulakan tugas sebagai guru di Melaka. Ramai juga yang mengenali saya.

Itu salah satu cara untuk saya dapatkan privasi bila hendak ke mana-mana. Tetapi untuk kekalkan imej berpurdah, saya belum lagi sampai ke tahap itu.
Bagaimanapun, doakan saya untuk ke arah tersebut. Saya juga sudah pilih persekitaran kediaman sesuai untuk rasa selamat dengan situasi sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI