fbpx

Pengusaha bot Pulau Suri perlu patuh aspek keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pejabat Jabatan Laut Tok Bali, Pasir Puteh, R. Azmi Ab. Rani mengeluarkan notis saman kepada pengusaha bot penambang di Pulau Suri, Tumpat.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT – Semua pengusaha bot penambang yang mengendalikan kira-kira 70 buah bot di Pulau Suri di sini perlu memastikan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ketika membawa penumpang ke pusat pelancongan itu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, mereka perlu memastikan aspek keselamatan utama iaitu dengan melengkapkan bot dengan jaket keselamatan.

“Pemakaian jaket keselamatan dan kapasiti bot penumpang amat penting sepanjang membawa penumpang pergi dan balik.

“Selain itu, bot penumpang perlu berkeadaan baik dan selamat semasa pergerakan mereka sepanjang menyusuri sungai ke pasar terapung tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ops Bersepadu Bot Penambang bersama 27 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Abdullah berkata, dalam operasi itu, sebanyak 16 notis saman dikeluarkan yang melibatkan pemeriksaan terhadap 21 pengusaha bot penambang.

“Saman yang dikeluarkan itu di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang boleh dikenakan denda minimum RM5,000.

“Pengusaha bot perlu menyelesaikan saman dalam tempoh 14 hari dengan berurusan Jabatan Laut Kelantan, sebelum tindakan tegas diambil,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI