fbpx

Gangguan kedua dalam 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hafiz mengisi air di dalam bekas yang dibawanya di pusat agihan air Syabas di Seksyen 4, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Penduduk di negeri ini terpaksa menanggung sengsara sekali lagi berikutan masalah ketiadaan bekalan air sejak kelmarin.
Kejadian itu adalah yang ke­dua dalam tempoh enam bulan.

Lebih teruk lagi, penduduk tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kerana kejadian berlaku di luar kawalan disebabkan masalah pencemaran sungai.

Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan penduduk terpaksa mengambil cuti mengejut untuk mengangkut air yang disediakan oleh Air Selangor di pusat agihan air.

Jurutera swasta, Muhd. Rafie Rasol, 29, berkata, dia terpaksa membersihkan diri menggunakan air di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuh Raya Kemu­ning-Shah Alam.

“Saya terpaksa berulang-alik ke R&R yang jaraknya 15 kilo­meter dari rumah (Seksyen 24) untuk mengambil air.

“Ketiadaan air memang menyusahkan saya sekeluarga, lebih-lebih lagi kami tidak dimaklumkan lebih awal oleh pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui di pusat agihan air di Seksyen 4 di sini semalam.

Disebabkan masalah itu, Mohd. Rafie berkata, dia terpaksa mengambil cuti ssemalam untuk mengangkut air yang disediakan di pusat agihan.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hafiz Ahmad, 50, berkata, dia menyedari rumahnya di Seksyen 7 di sini, tiada bekalan air semasa mahu mengambil wuduk pada pukul 1.30 tengah hari kelmarin.

“Saya mengambil wuduk menggunakan saki baki air daripada paip bilik mandi,” katanya.

Tambahnya, dia berasa kecewa dengan masalah gangguan bekalan air memandangkan ia kali kedua berlaku dalam tempoh enam bulan.

Operasi empat loji rawatan air (LRA) Sungai Sela­ngor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan sejak pagi kelmarin susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Di Kuala Langat, kira-kira 20,000 penduduk di Kampung Sijangkang Dalam, Batu 9 memaklumkan aktiviti harian me­reka terjejas disebabkan tiada air.

Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa penduduk membeli tong air selain premis perniagaan juga terpaksa ditutup.

Seorang penduduk, Yusni Bolkim, 55, berkata, dia menye­dari perkara itu semasa mahu menadah air kelmarin.

“Saya terkejut apabila mendapati air kotor, berlumpur dan berbau. Pihak terlibat juga lewat menghantar air bersih menyebabkan aktiviti harian saya terjejas,” katanya.

Sementara itu, pengusaha warung kopi, Rosilah Kassim, 53, berkata, dia terpaksa mencari bekalan air di tempat lain bagi meneruskan perniagaannya.
“Ada juga kedai atau warung makanan tidak beroperasi ke­rana tiada bekalan air. Saya bukan orang senang dan berharap masalah gangguan bekalan air diselesaikan segera,” katanya.

Suri rumah, Jarinah Misbah, 53, mahu tindakan tegas dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan pencemaran Sungai Selangor.

“Saya difahamkan masalah ini berlaku daripada kilang yang sama sehingga menyebabkan gangguan bekalan air semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI