fbpx

Mahkamah tetap 4 hari bicara 2 pertuduhan Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ahmad Maslan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan empat hari bermula Oktober hingga Disember depan bagi perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung dua pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tarikh empat hari bagi perbicaraan yang ditetapkan oleh Hakim Azman Ahmad itu ialah 16 dan 23 Oktober, 6 November dan 24 Disember.

Terdahulu semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mokhtar memaklumkan pihaknya sudah sedia maklum mengenai tarikh-tarikh yang  ditetapkan dan ia telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Sementara itu peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad mengesahkan tarikh-tarikh perbicaraan yang dipersetujui tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, 54, dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 14 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahmad untuk membuat semakan bagi keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan dari dua pertuduhan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Sesyen sama tidak terkhilaf dalam menolak kedua-dua permohonan Ahli Parlimen Pontian itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Sebelum itu pada 24 Julai lalu, Mahkamah Sesyen sama juga menolak permohonan pembatalan pertuduhan yang dihadapi Setiausaha Agung UMNO itu selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI