fbpx

Lonjak nilai TRW RM1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAM (berdiri enam dari kanan) mahu menjadikan pasukan Bali United sebagai inspirasi untuk memajukan Kelantan FC selepas Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak Kelantan FC di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu semalam. – ZULHANIFA SIDEK

PEMILIK baharu skuad The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman memasang impian untuk menyaksikan nilai skuad Kelantan FC mampu melonjak antara RM500 juta hingga RM1 bilion pada masa akan datang.

Menurut Norizam, 39, beliau memberi tempoh antara tiga hingga lima tahun untuk mencapai sasaran tersebut dan ia berdasarkan pulangan saham anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) iaitu Team Red Warriors Sdn. Bhd nanti.

Katanya yang juga pakar pelaburan saham, nilai itu tidak mustahil untuk dicapai kerana dalam pasaran saham segalanya mungkin terjadi.

“Saya mengambil inspirasi pasukan Bali United dalam aspek ini. Dalam dunia saham, kita perlu ada kemahiran pengurusan. Jadi, tidak mustahil sasaran itu mampu direalisasikan.

“Buat permulaan, saya perlu menyelesaikan isu perlesenan skuad Kelantan FC agar kita dapat beraksi pada saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengambil alihan skuad TRW dimeterai antara KAFA dan Norizam pada Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak Kelantan FC di di Kota Bharu semalam.

Hadir sama, Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan jawatankuasa pengurusan badan induk tersebut.

Norizam turut mengeluarkan dana sebanyak RM3 juta secara tunai dan RM3.8 juta lagi sebelum hujung tahun ini bagi menyelesaikan kemelut kewangan TRW.

Mengulas lanjut, selain sumbangan dana bagi menyelesaikan kemelut kewangan pasukan, beliau juga bercadang untuk menaik taraf infrastruktur untuk skuad bola sepak Kelantan secara berperingkat.

Sementara itu, selepas diumumkan sebagai pemilik TRW, Norizam yang merupakan anak jati Senai, Johor berkata, beliau tidak mempedulikan cakap-cakap orang yang mengatakan dia sebagai orang luar untuk mengemudi pengurusan pasukan Kelantan FC.

Katanya, dia sanggup datang dari selatan tanah air untuk membantu membangunkan bola sepak Kelantan yang mempunyai kekuatan peminat nombor satu di negara ini diikuti Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kita boleh lihat pemilik Cardiff City iaitu Tan Sri Vincent Tan. Beliau bukan orang sana malah telah terbukti berjaya memiliki malah mengurus kelab itu.

“Jika lihat pemain JDT. Kebanyakannya pemain luar dan itu bukan satu isu. Apa yang penting, kita sama-sama maju dan menaikkan semula martabat bola sepak pasukan TRW seperti yang dikecapi semasa zaman kegemilangannya 10 tahun dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI