GEORGE TOWN – Trend bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejak kebelakangan ini mencetuskan rasa bimbang sehingga ada pihak mengaitkan kejadian itu dengan mitos lambaian seorang lelaki di jambatan berkenaan.
Cerita mistik itu dikatakan menjadi buah mulut penduduk setempat sejak sekian lama terutama dalam kalangan pemancing yang turut menyifatkan tiang bernombor 33 sebagai berpenunggu.
Menurut penduduk setempat, mana-mana individu yang berdepan dengan depresi atau tekanan teruk selain berhasrat mahu membunuh diri kononnya akan ternampak lambaian seorang lelaki dalam keadaan duduk bersila di tiang bawah.
Dalam kalangan kaki pancing, mereka juga mendakwa pernah terdengar suara tangisan wanita semasa memancing di tiang 33 dan mitos itu sering kali dikaitkan dengan kejadian bunuh diri.
Mengikut rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 12 kes kematian akibat terjun dari Jambatan Pulau Pinang berlaku dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, iaitu purata satu kes bagi setiap bulan.
Bagaimanapun, bagi tempoh setakat September tahun ini, sebanyak tujuh kes telah dilaporkan melibatkan enam kematian.

Seorang pemancing dikenali sebagai Rahman, 47, berkata, banyak pengalaman misteri dilaluinya sepanjang hampir 10 tahun memancing di kawasan itu.
“Hanya mereka yang kebal atau tidak percaya akan benda karut yang berani berada di beberapa tiang di situ termasuk di tiang 33 yang terkenal dalam kalangan kaki pancing tegar.
“Pernah saya terdengar suara wanita menangis di lokasi berkenaan kira-kira pukul 2 pagi. Saya cuba mencari pemilik suara itu, tetapi tidak menemui sesiapa.
“Bukan suara wanita sahaja, ada juga tangisan lelaki didengar ketika saya berada di tiang 32,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengenai dakwaan terdapat penunggu di bawah jambatan, beliau mengakui kisah itu pernah diceritakan oleh bapanya, namun sejauh mana kebenarannya masih menjadi persoalan.
Seorang lagi pemancing, Anuar Salleh, 37, memberitahu, dia pernah melalui pengalaman menyeramkan apabila terdengar bunyi objek terjatuh ke dalam air dari jambatan dua tahun lalu.
“Ketika itu pukul 12.45 malam dan saya berada berdekatan tiang tengah, kurang 20 meter ke bahagian tengah jambatan menghala ke Perai.
“Kedengaran seperti objek besar terjatuh dari atas dan bunyi air merecik. Saya ingatkan ada orang terjun jambatan tetapi tiada langsung kelibat manusia atau sekelumit suara dari lokasi tersebut,” dakwanya.














