fbpx

Untung kahwin masa PKPP, lebih jimat dan ringkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

Nilai wang hantaran perkahwinan mengikut taraf pendidikan yang pernah dilaporkan Kosmo! pada tahun 2013 menarik perhatian ramai.

Jika anak dara berkelulusan ijazah sarjana muda, nilai hantaran mencecah RM20,000.

Wang hantaran yang tinggi bagaikan menjadi amalan rakyat Malaysia.

Trend itu menyebabkan sebahagian besar pasangan muda yang baru mendapat pekerjaan terpaksa menangguhkan impian mereka untuk berkahwin awal.

Segelintir ibu bapa pula menganggap jumlah wang hantaran menggambarkan nilai anak perempuan mereka.

Dengan meletakkan wang hantaran yang tinggi, mereka bangga kerana sekampung atau setaman akan bercerita tentang nilai hantaran anak dara mereka.

Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa pula mendakwa, nilai hantaran semahal itu sebenarnya bagi menampung kos perkahwinan yang semakin meningkat.

Antara kos yang perlu ditanggung ialah sewa dewan, khemah, pakaian pengantin, jurusolek, pelamin, katering, cenderamata dan jurukamera.

Itu tidak termasuk lagi ibu bapa yang mahu memeriahkan lagi majlis perkahwinan anak dengan persembahan silat, kompang, tarian dan pengacara majlis.

Jemputan pun lebih 1,000 orang.

Namun selepas pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia termasuk Malaysia, trend itu sudah berubah. Majlis perkahwinan tidak semeriah dahulu.

Jarang sekali kita dapat lihat anak-anak muda bersilat di depan pengantin, malah paluan kompang yang mengiringi perarakan pengantin pun jarang kedengaran.

Lebih unik apabila terdapat majlis perkahwinan diadakan secara pandu lalu sahaja.

Tidak perlu banyak meja dan kerusi atau pasang sampai lapan buah khemah.

Selain itu, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak pengantin hanya menjemput 250 orang tetamu.

Tidak perlu lagi sewa dewan yang besar, cukup sekadar dewan sederhana.

Sebab itu, ramai orang kata melangsungkan perkahwinan ketika PKPP menjimatkan wang.

Kosnya kurang RM10,000, tidak perlu berhutang dengan bank sampai anak tiga pun belum habis ansuran bulanan.

Menurut sebuah syarikat perancang perkahwinan dalam iklannya di Facebook, sebelum penularan Covid-19, pakej perkahwinan lengkap yang ‘grand’ biasanya RM30,000, tetapi sekarang bermula RM6,650 sahaja.

Harga serendah itu pun akan dapat pakej lengkap seperti katering, dewan, pakaian pengantin, pelamin, jurusolek, jurukamera dan lain-lain.

Syarikat itu terpaksa menawarkan pakej murah kerana kebanyakan bakal pengantin mahu mengadakan perkahwinan secara ringkas mengikut prosedur operasi standard bagi membendung penularan Covid-19.

Jadi, inilah masa terbaik untuk anak-anak muda mengakhiri zaman bujang.

Mereka tidak perlu lagi mencari wang hantaran sampai RM20,000 kerana perbelanjaan ketika PKPP tidak sampai RM10,000.

Maka nilai wang hantaran mengikut tahap kelulusan akademik anak dara bolehlah dimansuhkan kerana ikatan perkahwinan yang sah lebih penting daripada jumlah duit.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI