fbpx

Pemanasan global bawa malapetaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU pemanasan global bukanlah perkara baharu kepada pejuang alam sekitar di seluruh dunia.

Perjuangan itu bermula apabila suhu global meningkat dengan kadar lebih cepat sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun, tetapi kini berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Hafizal Ismail berkata, perubahan suhu yang ketara ini berlaku disebabkan perbuatan manusia.

Katanya, faktor pembangunan dan pertambahan jumlah penduduk dunia telah meningkatkan pembebasan gas rumah hijau dalam udara sekali gus menyumbang kepada peningkatan suhu global.

“Pemanasan global memang sukar untuk diatasi secara ke­seluruhannya, namun masyarakat boleh membantu mengurangkan peningkatan suhu.

“Masyarakat boleh membantu dengan menggunakan bahan-bahan boleh dikitar semula dalam kehidupan dan menanam pokok,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Suhu Bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Kajian mendapati, Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain di dunia.

Kepantasan peningkatan suhu di Artik akan meningkatkan paras air laut sekali gus akan memberi musibah besar kepada penduduk dunia seperti banjir, ombak besar dan hakisan pantai.

“Malapetaka akibat peningkatan suhu dunia sangat dahsyat. Ia akan menjejaskan kehidupan manusia dan ekosistem haiwan secara keseluruhan. Sesuatu perlu dilakukan untuk menyedarkan masyarakat,” ulas Mohd. Hafizal.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail pula berpendapat, rata-rata masyarakat di negara ini pernah mendengar fenomena perubahan iklim, namun tidak memahaminya.

Katanya, perubahan iklim te­lah berlaku dan impaknya boleh dilihat dari masa ke masa seperti kejadian hujan lebat atau kemarau panjang berulang kali.

“Kesedaran masyarakat negara maju mengenai perubahan iklim kira-kira 87 peratus, manakala negara membangun seperti Malaysia antara 28 hingga 48 peratus sahaja.

“Buktinya, kita boleh lihat apabila aktiviti penebangan hutan dilakukan secara berleluasa di seluruh negara selain sambutan program kitar semula yang sa­ngat menyedihkan,” ujarnya.

Justeru, pihak kerajaan dan korporat serta badan bukan kerajaan harus bersama dalam menyedarkan rakyat mengenai isu perubahan iklim.

Masyarakat tidak seharus­nya menunggu sehingga berlaku tragedi berkaitan perubahan iklim barulah ingin berubah, ketika itu ia sudah terlambat.

Ahmad berharap, kerajaan boleh memasukkan bab pemanasan global dalam kurikulum sekolah, sekali gus dapat memberi kesedaran kepada masyarakat sejak di usia kanak-kanak.

Ujarnya, aktiviti kokurikulum di sekolah juga boleh membantu meningkatkan kefahaman pelajar mengenai perubahan iklim.

“Antara kaedah yang paling berkesan adalah melalui pendi­dikan formal dan tidak formal.

Misalnya, sekolah mungkin boleh mengadakan kempen jimatkan air, elektrik, kitar semula, penanaman pokok dan sekolah hijau

“MNS melalui program pendidikan juga memberi pendedahan tentang perubahan iklim di sekolah-sekolah. Ketika ini sebanyak 500 sekolah yang mempunyai Kelab Pencinta Alam di bawah MNS,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI