fbpx

62 pelanggan ditahan dalam Op Ambang Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Seramai 62 individu yang leka mendengar muzik di sebuah kedai makan di Bukit Selambau di sini ditahan dalam Op Ambang Merdeka tengah malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut menahan penjaga premis berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, serbuan dilakukan di sebuah kedai makan yang menawarkan kemudahan karaoke.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan lanjut di dalam premis mendapati beberapa orang sedang berkumpul sambil leka mendengar muzik dan tidak menjaga penjarakan fizikal,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, penjaga premis tersebut gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan yang sah.

“Dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita Thailand ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Manakala 36 lelaki dan 24 wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an yang disyaki pelanggan ditahan kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal semasa berada di premis tersebut,” ujarnya.

Menurut Adzli,  kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Kita turut merampas beberapa barangan antaranya televisyen, mikrofon dan pembesar suara,” jelasnya.

Tambahnya, seramai 59 pelanggan telah dikompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI