TANJUNG MALIM – Sebanyak lima laporan diterima polis sepanjang tempoh dua minggu berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang tamat semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan terakhir diterima pihaknya semalam berkaitan dengan ketidakpuasahan hati terhadap ceramah yang disampaikan.
“Setakat dua minggu tempoh berkempen yang berakhir semalam, kita menerima lima laporan polis dengan yang terbaharu diterima semalam.
“Bagaimanapun siasatan awal polis mendapati kes diklasifikasikan sebagai untuk dirujuk kepada agensi lain iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Tambah Sulizmie Affendy, tiada laporan diterima polis sepanjang hari pengundian berlangsung sehingga pukul 4 petang ini.
Katanya, berdasarkan tinjauan yang dilakukan polis, terdapat kesesakan lalu lintas di beberapa buah pusat mengundi antara pukul 8 hingga 11 pagi memandangkan kehadiran pengundi yang tinggi di samping jalan yang sempit.
“Kesesakan lalu lintas terutamanya di hadapan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, SK Trolak Selatan dan SK Aminuddin Baki tersebut dapat diatasi dengan baik.
“Bermula tengah hari sehingga 4 petang ini, keadaan mula lengang di pusat mengundi dan saya menyeru kepada pengundi yang layak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh yang berbaki sejam setengah ini,” katanya.
Katanya, polis juga ingin menegaskan hanya 30 penyokong calon yang menang dibenarkan masuk ke pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim pada malam ini.
“Para penyokong diingatkan agar tidak membuat sebarang perarakan dan provokasi, mengganggu ketenteraman dan keselamatan pihak lain selepas berakhirnya proses PRK DUN Slim ini,” katanya. – K! ONLINE














