fbpx

Jangan terlalu turutkan kata hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

PADA 29 Julai lalu, seorang suami bertindak di luar batasan apabila sanggup menjerut isterinya hingga mati hanya kerana wanita itu dikatakan meminta cerai daripadanya dalam satu kejadian di Taman Mas, Putra Perdana, Sepang.

Dalam satu kejadian lain di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam pada Selasa lalu pula, seorang lelaki menemui ajal selepas dikatakan dipukul oleh jiran sendiri hanya kerana masalah sebuah telefon bimbit.

Jika diteliti, punca kepada dua kejadian yang berlaku sehingga meragut dua nyawa itu tidaklah sebesar mana mengikut akal fikiran manusia yang sihat, namun ia sudah cukup untuk menyebabkan seseorang menjadi hilang pertimbangan dan bertindak di luar kewarasan fikiran.

Kes-kes melibatkan kehilangan nyawa seperti ini sudah tentu menjadi satu kesalahan jenayah yang berat di sisi undang-undang tidak kiralah sama ada si pelakunya berada pada pihak yang benar atau sebaliknya.

Pesalah yang terlibat dalam kes sebegini pasti akan diburu pihak berkuasa dan mereka tidak akan boleh lari ke mana-mana. Lambat laun, mereka yang terbabit pasti akan ditahan dan seterusnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Jika sudah berada dalam lokap polis, pastinya perasaan menyesal tak sudah akan menyelebungi si pelaku, namun tentunya ia sudah tidak membawa apa-apa erti lagi.

Dalam sesetengah kes, pesalah sebelumnya mungkin bukanlah seorang penjenayah, namun mungkin hanya kerana ingin mempertahankan ego, mereka tiba-tiba menjadi begitu mudah hilang pertimbangan sehingga terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan atau kematian.

Akibat daripada kesalahan itu amatlah buruk. Ia bukan sahaja akan menyebabkan masa depan si pesalah menjadi gelap gelita, malah turut memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga mereka juga.

Kejadian-kejadian jenayah yang dinyatakan di atas sebenarnya boleh dielakkan jika mereka tidak terlalu menurutkan kata hati dan mengutamakan norma-norma murni dalam kehidupan serta ajaran agama.

Dalam kehidupan, masalah atau pertikaian pasti akan berlaku di mana-mana atau bila-bila masa sahaja sama ada sesama keluarga, jiran tetangga atau dengan pihak lain.

Paling penting ialah bagaimana permasalahan itu di­selesaikan. Bertindak secara melulu semata-mata untuk mempertahankan ego sudah tentu boleh menjeremuskan seseorang kepada perbuatan-perbuatan yang akan membuatkan kita menyesal seumur hidup.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sebahagian daripada kita ketika ini yang ‘hidup dalam keadaan tertekan’ ekoran dibelenggu masalah kewangan akibat kehilangan pekerjaan atau hutang, ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi seseorang untuk bertindak di luar jangkaan.

Untuk itu, segala masalah kecil yang berlaku tidak kira sama ada melibatkan keluarga atau jiran tetangga, tidak usahlah diperbesar-besarkan.

Selesaikanlah dengan cara baik. Ketepikan ego, duduklah berbincang kerana kita bimbang sekiranya tidak dita­ngani dengan sempurna, ia boleh menjadi barah sehingga mencetuskan kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI