fbpx

PDRM belanja RM67 juta beli 425 MPV baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 14 buah MPV jenis Honda Civic 1.8 diserahkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah di Melaka, semalam.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah baik kualiti kereta rondaan polis (MPV) dengan pembelian 425 kereta baharu melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM67 juta.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Karim berkata, 250 daripadanya adalah MPV jenis Honda Civic 1.8 manakala baki 175 adalah Proton X70 yang disewa secara konsensi selama lima tahun.

Jelasnya, kos itu juga merangkumi pembelian kelengkapan kit peralatan sokongan didalam kenderaan terbabit.

“MPV baharu itu akan diserah secara berperingkat dan dijangkakan setiap kontinjen bakal menerimanya pada pertengahan September ini bagi menggantikan MPV lama seperti Proton Waja.

“Kita bukan sahaja perlukan kenderaan yang tahan lasak dan boleh digunakan dalam tempoh 24 jam tetapi memastikan pemanduan defensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, bagaimanapun bagi Proton X70, pengurusan pembelian masih di peringkat pembuktian konsep (POC) untuk memastikan ia sesuai digunakan dalam penugasan polis.

“Sekarang pihak teknikal logistik kenderaan dan teknikal JPKK Bukit Aman sedang melakukan pemeriksaan ke atas setiap kenderaan sebelum diserahkan kepada kontinjen.

“Ini kerana kita tidak mahu ia tidak dapat memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan JPKK dalam melakukan tugasan rondaan dan Proton X70 masih dalam proses POC,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MPV baharu itu juga dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka serta perakam video digital, selain jaket kalis peluru.

“PDRM juga kini dalam usaha memperoleh kira-kira 1, 000 unit non-lethal weapon’ dalam mengendalikan kes seperti amuk,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 14 MPV Honda Civic diserahkan kepada IPK Melaka dan diagihkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI