fbpx

Kementerian guna pelbagai taktik bantu gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Edmund (tengah) mengibarkan bendera Jalur Gemilang bersama-sama ahli Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya dalam program Semarak Merdeka 2020 di hadapan bangunan Sogo, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR- Kementerian Wilayah Persekutuan mempunyai pelbagai ‘taktik’ untuk membantu golongan gelandangan, namun sukar untuk menyelesaikan masalah tersebut secara tuntas.

Timbalan Menteri Wilayah Kementerian, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar berkata, hampir setiap hari ada insan yang datang ke ibu kota untuk berhijrah mencari kerja, namun nasib yang kurang baik memaksa mereka untuk menjadi gelandangan.

“Setiap kali kami tolong gelandangan keluar (daripada status gelandangan), ada gelandangan dari negeri lain datang, mereka melihat gelandangan di Kuala Lumpur dapat baju, makanan, duit dan mereka kata jom ke Kuala Lumpur.

“Ini merupakan satu cabaran bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memerlukan kaedah, strategi jangka panjang dan gerakan taktikal seperti memberi latihan untuk mereka bekerja,” katanya ketika program Semarak Merdeka 2020 anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya di hadapan bangunan Sogo, di sini hari ini.

Jelas beliau, meskipun sukar untuk meletakkan sebarang sasaran bagi menyelesaikan masalah gelandangan, keutamaan kementerian ialah memastikan status gelandangan seseorang itu tidak berpanjangan.

“Ada antara mereka bukan gelandangan, tetapi mempunyai masalah dengan keluarga, putus cinta, selain faktor sosial dan kewangan.

“Ada juga yang sakit mental yang mana kami hantarkan ke hospital dan bagi mereka yang mempunyai masalah ketagihan dadah, kami hantar ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Masalah ini memerlukan taktikal yang berbeza,” tambah beliau.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, ramai gelandangan hidup bahagia di jalanan kerana dapat makan lima kali sehari dan kadangkala diberi wang saku.

Kebanyakan gelandangan menjadikan kawasan tumpuan untuk mendapatkan bantuan seperti makanan, pakaian.

Ada juga kawasan yang memiliki kemudahan awam seperti tandas dijadikan tempat tumpuan mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI