fbpx

Padah buat ugutan jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki membuat ugutan jenayah dan perbuatan khianat kerana berang tayar keretanya dikunci oleh pengawal keselamatan akhirnya memakan diri apabila dia ditahan di Damansara Damai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di sini pada pukul 5.26 petang.

“Menurut mangsa, pada 20 Ogos lalu dia telah mengunci tayar kereta suspek kerana tidak membayar kos penyelenggaraan bulanan selama tiga bulan.

“Suspek yang berang kemudiannya telah menunjukkan sebilah pedang samurai kepada mangsa semasa pengawal keselamatan itu hendak membuka alat pengunci tayar kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Nik Ezanee, kejadian kedua berlaku semalam apabila suspek bertindak memecahkan kunci dan merosakkan alat pengunci tayar berkenaan.

“Susulan laporan yang diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas suspek berusia 44 tahun itu di sebuah unit pangsapuri di sini kira-kira pukul 10.30 malam hari yang sama.

“Pemeriksaan di dalam kereta suspek pula telah menemui sebatang kuku kambing yang dipercayai digunakan untuk merosakkan alat pengunci tayar kereta berkenaan,” ujar beliau.

Nik Ezanee berkata, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI