fbpx

Bekas penjawat awam didakwa buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPRM mengiringi bekas Penolong Pegawai Perpaduan Alor Gajah, Fatihah di Kompleks Mahkamah Melaka./ FOTO - Rasul Azli Samad.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Seorang bekas Penolong Pegawai Perpaduan Alor Gajah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tiga tuntutan palsu bernilai RM6, 000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Fatihah Azmi, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketiga, wanita itu didakwa dengan sengaja telah memberikan kepada seorang ejen, Mazlina Amirullah iaitu seorang Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah tiga dokumen berbeza invois bertarikh 2 Oktober 2017.

Tertuduh menyedari yang mana prinsipal itu mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butir dokumen palsu iaitu mengenai perkhidmatan makan minum bagi Karnival Perpaduan Peringkat Parlimen Masjid Tanah Bersama Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) pada 30 September dan 7 Oktober 2017.

Ketiga-tiga invois itu masing-masing berjumlah RM2, 000, dikeluarkan tertuduh dengan mengetahui yang mana sebenarnya pembekalan makanan itu tidak dilakukan.

Ketiga kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah pada Oktober 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10, 000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga turut tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan iaitu dengan curang memperdayakan seorang Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah untuk mempercayai tiga invois berbeza bernilai keseluruhan RM6, 000 dikeluarkan bagi tujuan seperti pertuduhan di atas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dikenakan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, R. Francine Cheryl mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5, 000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas budi bicara mahkamah.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Mohd. Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5, 000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 Oktober depan untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI