fbpx

Dua bot nelayan, kru warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua bot nelayan tersebut telah diiringi ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Pulau Melayu Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini telah menahan dua bot nelayan tempatan kelas C atas pelbagai kesalahan dalam dua kejadian berasingan pada Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, tangkapan pertama dilakukan lebih kurang pukul 8.05 pagi oleh KM Siakap ketika menjalankan operasi OP Naga Timur pada kedudukan 4.0 batu nautika dari perairan Muara Sungai Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong dan lima kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 35 hingga 53 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Seorang daripada kru didapati tidak memiliki sebarang permit kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (26 Ogos).

Fauzi memberitahu bahawa tangkapan kedua pula dibuat pada sekitar pukul 9.00 pagi oleh Penggalang 23 yang dalam rondaan operasi OP Permai dan OP Benteng di Perairan Sibuti.

“Ketika diperiksa, tekong telah mengemukakan buku lesen yang telah tamat tempoh dan bot nelayan tersebut tidak mempunyai permit kelulusan menggunakan kru asing daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Bot tersebut dikendalikan oleh tekong dan empat kru warga Vietnam berumur dalam lingkungan 34 hingga 47 tahun,” jelas beliau.

Kedua-dua bot tersebut telah diiring ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Pulau Melayu Miri untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara dan juga buku lesen perikanan yang dikemukakan telah tamat tempoh.

“Kesemua kru kedua-dua bot tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Terima kasih diucapkan pada pihak KKM di atas perkhidmatan dan kerjasama yang telah diberikan kepada pihak kami,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, APMM akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Negara.

Fauzi mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat bagi membantu APMM dalam membanteras jenayah di laut.

Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI