fbpx

Nestle Malaysia rekod perolehan RM1.22 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nestle (Malaysia) Bhd. mencatatkan keputusan kukuh bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2020, walaupun dihimpit kesan ketara akibat langkah kawalan Covid-19 yang menjejaskan prestasi jangka pendek dalam saluran ter­tentu.

Perolehan sedikit merosot kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.34 bilion pada suku kedua tahun 2019 manakala untung selepas cukai menyusut kepada RM105.5 juta berbanding RM156.9 juta tahun lalu.

Prestasi itu ekoran kemerosotan jualan dan gangguan daripada langkah pencegahan Covid-19 terhadap saluran hotel, restoran dan kafe (Horeca), selain kos untuk melaksanakan tiga ke­utamaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tiga keutamaan tersebut ialah memastikan keselamatan kakitangan dan rakan perniagaan, menjamin kesinambungan bekalan barangan keperluan kepada semua pengguna serta meluaskan program untuk menyokong komuniti di seluruh Malaysia.

Kemerosotan tersebut ba­gaimanapun sedikit sebanyak dapat ditampung oleh prestasi mantap daripada saluran dalam rumah, dengan jenama seperti Maggi, Nescafe, Milo dan Nestle Ice Cream merekodkan keuntu­ngan dan penembusan isi rumah lebih baik.

Juan Aranols

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, prestasi kewangan Kumpulan kekal kukuh secara keseluruhan dan walaupun terdapat penyusutan sementara terutamanya pada saluran Horeca, prestasi­nya bertambah baik ketika negara memasuki fasa PKP Pemulihan pada Jun.

“Kami turut menemui cara baharu dan inovatif untuk berhubung dengan pengguna, contohnya Maggi telah memainkan peranan aktif untuk terus mendekati pelanggan dengan berkongsi resipi dan mengga­lakkan seisi keluarga memasak menu lazat serta sihat di rumah.

“Pasukan Nestle Ice Cream pula berjaya menggunakan saluran penghantaran ke rumah untuk menghantar terus kepada pelanggan di kediaman mereka manakala penglibatan kami dalam digital dan e-dagang telah berkembang pesat.

“Kilang, pusat pengedaran dan pejabat jualan kami juga telah menyesuaikan cara kerja mereka untuk memastikan keselamatan kakitangan barisan hadapan,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan semalam.

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim RM0.70 sen sesaham bagi tahun kewangan semasa, setanding dengan pembayaran dividen interim pertama pada 2019.

Aranols menambah, dengan rancangan yang telah disusun, pihaknya yakin Nestle Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menjana pendapatan mampan bagi baki tahun semasa dan tempoh selanjutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI