fbpx

Air mentah cukup sehingga 2065

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empangan Klang Gate.

SHAH ALAM – Sumber bekalan air mentah di Lembah Klang mampu bertahan sehingga 2065.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Datuk Ir. Hashim Osman berkata, ini berdasarkan kajian dilakukan pihaknya terdapat permintaan di kalangan pemain industri dan kegunaan domestik di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, bagaimanapun ketujuh-tujuh empangan yang telah digazetkan meliputi Empangan Tasik Subang; Empangan Semenyih; Empangan Langat; Empangan Klang Gates; Empangan Batu, Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi harus diuruskan dengan sebaiknya.

“Untuk rekod, kesemua empangan kita penuh 100 peratus tetapi perlu mengambil kira supaya lepasan empangan dilakukan berhati dan bila diperlukan sahaja.

“Sepatutnya kini, negara berada musim panas namun perubahan cuaca berlaku dan semua empangan penuh pada bulan ini. Kita juga telah bertindak mengurangkan kuantitinya kepada 80 peratus dengan
sebahagiannya dilepaskan ke sungai bagi menampung lebihan air terutama pada musim hujan pada November dan Disember ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kata beliau, situasi itu menjimatkan operasi penggunaan pam di 20 buah kolam alternatif yang telah digazetkan LUAS di seluruh Selangor sebagai persediaan mengelakkan kejadian bekalan air mentah putus seperti berlaku pada 2014.

Hashim menambah, pihaknya mempunyai sistem sokongan Intelligent LUAS yang menguruskan lepasan air setiap hari bagi mengelakkan pembaziran air takungan di empangan tersebut.

“Cukup memang cukup bekalan air mentah ini. Kalau tiga bulan hujan tidak turun di Selangor sekalipun, kita masih dapat membekalkan air mentah. Ini jaminan LUAS.

“Namun, ramai juga menyalahkan pihak LUAS sekiranya tiada air. Perlu diketahui, pembekalan air terawat adalah di bawah pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan LUAS turut mempunyai lima telaga air bawah tanah sebagai alternatif terakhir yang boleh digunakan dalam tempoh-tempoh kecemasan.

“Air tanah ini dapat membekalkan 20,000 liter padu per jam apabila air jenis ini tidak akan kering dan boleh dipam setiap masa,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI