fbpx

‘Tolong belajar dari kesilapan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

BERMULA dengan ciapan di laman sosial Twitter oleh bapa kepada pemain bola sepak Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Wan Ahmad Kamal Wan Napi yang mahu menyelesaikan masalah bebanan yang ditanggung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan membeli pasukan itu menjadikan isu pemilikan pasukan bola sepak di negara ini menjadi hangat diperkatakan.

Kemudiannya seorang pakar pelaburan saham yang bernama Norizam Tukirman atau dikenali sebagai Zamsaham meletakkan lima syarat untuk dipenuhi KAFA sebelum dia mengambil alih pasukan tersebut.

Perkembangan itu sebenarnya cukup seronok untuk didengar kerana sebelum ini kita dihidangkan hampir setiap masa dengan masalah kewangan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia.

Ia menunjukkan ada pihak yang merasai bahawa mereka benar-benar perlu mengambil tanggungjawab membantu dan memulihkan pasukan yang berdepan kemelut tersebut supaya industri bola sepak negara terus meriah.

Bagaimanapun, bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak, kegemilangan lampau tidak mampu memberi jaminan kecuali pengurusan kewangan yang baik adalah faktor penentu.

Kelantan muncul menjadi kuasa besar bola sepak negara kurang 10 tahun yang lalu dan secara logiknya ketika itu KAFA sepatutnya mampu mengumpul wang yang banyak untuk kelangsungan pasukan itu.

Namun, matematik dalam bola sepak tidak semudah itu dan pihak pengurusan yang bersilih ganti menjadikan pasukan itu diambang kehancuran.

Kesanggupan pihak yang bersedia membeli pasukan Kelantan bagaikan sinar baharu kepada seluruh peminat yang masih menaruh harapan pasukan itu mampu bangkit.

Dalam proses menswastakan pasukan bola sepak sudah pastinya kewangan adalah faktor yang paling dominan, jadi mempunyai pemilik yang mampu menyediakan dana yang cukup mestilah menjadi keutamaan.

Mereka yang berkobar-kobar untuk menerjunkan diri ke dalam bidang ini perlu bersedia dengan ilmu ketahanan kerana mungkin anda tidak mampu membuat keuntungan dalam tempoh tiga hingga lima tahun kecuali kalau kena dengan gayanya.

Asianet Newsable pada 2018 mendedah lima faktor bagaimana Manchester United muncul antara kelab yang terkaya di dunia, pertama menerusi penjualan jersi, kedua adalah kutipan menerusi tiket dan ketiga mempunyai pengurus pasukan yang baik untuk memastikan prestasi kelab berada pada tahap tertinggi.

Seterusnya, United juga memiliki barisan pemain yang baik selain sokongan kewangan daripada penaja dengan dana yang besar menjadi elemen untuk memastikan aliran tunai mereka terus kukuh bagi membolehkan pasukan itu terus kekal bersaing.

Semua itu tidak mungkin boleh berlaku dalam tempoh yang singkat sebaliknya memerlukan kerja keras serta sistematik dan kalau boleh kita simpulkan, pemilik perlu memastikan pasukan mereka sentiasa kuat dan terbaik.

Bagi mereka yang benar-benar berminat memiliki pasukan yang mereka inginkan, tolonglah belajar dari kesilapan dan berazam untuk tidak mengulangi agar impian besar mereka membentuk empayar bola sepak tercapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI