fbpx

Bekas Setiausaha Sulit, tunang didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Saifullah dan tunangnya Nur Fadziana keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang juga bekas Setiausaha Sulit Menteri Pelancongan dan tunangnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 18 pertuduhan meminta, menerima dan bersubahat rasuah RM3.1 juta berhubung tender iklan Tourism Malaysia tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Saifullah Mohd. Minggu@Mohd. Hisham ,29, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di Hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18 Mohd. Saifullah didakwa sebagai Setiausaha Sulit kepada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertugas di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di Putrajaya telah meminta dan menerima suapan berjumlah RM 3.1 juta daripada Ronald Seto Kong Seng iaitu pemilik Syarikat Inter Bev Network Sdn. Bhd.

Wang suapan itu sebagai upah Mohd. Saifullah berjanji mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creatif) untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia’ dan tender ‘Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-negara Asia Utara dan Asia Timur (North&East Asia) Tourism Malaysia’ kepada Syarikat Inter Bev Network.

Selain itu upah tersebut adalah tertuduh turut berjanji untuk mendapatkan tender ‘RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia’ kepada Syarikat Plan B Digital Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri, Kementerian Pelancongan di Putrajaya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Jalan Sultan Ismail , Vipod Residence di Jalan Kia Peng serta di Coffee Bean dan Red Box di Pavillion Jalan Bukit Bintang di sini antara 19 Januari hingga 29 Julai 2019.

Bagi kesemua kesalahan tersebut, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh berisiko melarikan diri apabila gagal dikesan pihak SPRM sebelum ini.

Bagaimanapun peguam Md. Yunos Shariff yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan anak guamnya telah menyerah diri kepada SPRM.

“Anak guam saya juga memberi kerjasama apabila dipanggil pihak SPRM untuk tujuan siasatan dan menyerah diri pada 14 Ogos lalu. Ini menunjukkan dia memberi kerjasama dan tidak melarikan diri,” kata Md. Yunos.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap 1 haribulan setiap bulan.

Sementara itu di mahkamah sama, tunang kepada Mohd. Saifullah, Nur Fadziana Abdul Kadir, 28, turut didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dengan lelaki itu dengan menerima suapan RM232,000 daripada individu dan upah yang sama.

Dia dakwa melakukan kesalahan tersebut di Vipod Residences pada 12 April 2019 yang didakwa mengikut seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman sama jika sabit kesalahan.

Azman kemudian membenarkan Nur Fadziana diikat jamin RM50,000 berserta syarat tambahan sama.

Tarikh 23 September depan ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI