fbpx

Alliance Bank labur RM30 juta perkukuh perkhidmatan pendigitalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) akan memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan perkhidmatan pendigitalan  selain membantu pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Joel Kornreich berkata, pihaknya bertindak proaktif dan telah menghubungi semua pelanggan daripada sektor korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan individu berhubung pengambilan moratorium.

Menurut beliau, kira-kira 80 peratus daripada pelanggan PKS dan individu Alliance Bank memilih untuk mengambil moratorium yang mana ia mewakili 53 peratus daripada keseluruhan pinjaman.

“Banyak yang masih tidak jelas sama ada memerlukan bantuan kewangan atau tidak kerana tempoh moratorium belum tamat, mereka perlu menilai semula situasi semasa dan kami secara aktif menawarkan bantuan kepada setiap pelanggan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan secara online di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ronnie Fernandiz.

Kornreich menerangkan, Alliance Bank memperuntukkan pelaburan RM30 juta tahun ini bagi mengukuhkan tawaran digital bagi memberikan pelanggan pengalaman yang lebih baik dalam suasana normal baharu sekarang, selain dapat menarik minat pelanggan yang jauh untuk berurusan dengan pihak bank,” katanya.

Tambah beliau, industri perbankan tahun ini dijangka merekodkan keuntungan yang lebih rendah sehubungan pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia selain faktor pandemik, namun bagi Alliance Bank, ia masih pada tahap terkawal.

Jelasnya, nilai susut nilai pinjaman kasar (GIL) masih berada pada paras rendah iaitu sekitar dua peratus, sama seperti tahun kewangan sebelumnya yang berakhir pada 31 Mac 2020 kesan daripada pelaksanaan moratorium.

“Situasi tidak banyak berubah pada suku pertama tahun kewangan semasa, pelanggan juga memiliki lebih aliran tunai untuk membayar pembiayaan yang tidak termasuk dalam pelaksanaan moratorium, misalnya hutang kad kredit.

“Situasi semasa agak baik namun kami menjangkakan kos kredit akan meningkat sebaik moratorium tamat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI