fbpx

22 lelaki Rohingya tiada kad UNHCR ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa Majlis Daerah Ketereh dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia menahan empat lelaki etnik Rohingya yang menjalankan aktiviti mencari besi buruk di rumah mereka di Melor semalam.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Majlis Daerah Ketereh (MDK) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menggempur kediaman dan premis yang diusahakan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar dan Pakistan di sekitar Melor, Kadok serta Kok Lanas di sini semalam.

Dalam Op Bersih Bersepadu Warga Asing MDK itu, seramai 22 lelaki daripada 37 pati daripada etnik Rohingya ditahan ekoran tidak mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam serbuan di 14 premis perniagaan dan 12 buah rumah.

Sewaktu serbuan dijalankan di kawasan perumahan, etnik tersebut tinggal secara beramai-ramai dalam sesebuah rumah selain persekitaran kediaman mereka kotor dan dipenuhi dengan besi-besi buruk yang dipercayai untuk dijual sebagai mata pencarian mereka.

Yang Dipertua MDK, Ronazli Amin berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua bulan di penempatan dan premis yang diusahakan oleh etnik Rohingya selepas menerima rungutan dan aduan daripada penduduk setempat.

Katanya, siasatan mendapati, etnik Rohingya menyewa premis milik warga tempatan dan menjalankan perniagaan makanan selain menjadikan kedai makan itu sebagai lokasi tumpuan dalam kalangan mereka untuk mencari hidangan makanan.

“Hasil siasatan juga mendapati, kegiatan perniagaan kedai makan itu juga menggunakan permit penduduk rakyat tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selain membuka gerai makan, kebanyakkan mereka yang ditahan bekerja sebagai penjaja dan pengutip besi besi buruk di sekitar kawasan kampung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Bersih Bersepadu Warga Asing MDK di sini semalam.

Menurut Ronazli, susulan daripada serbuan di kedai makan, pihaknya telah menyita lima buah premis mengikut Undang-Undang Kecil 38(1) dan Undang-Undang Kecil 9 kerana mereka mereka berniaga menggunakan lesen orang lain.

Katanya, selain itu, MDK turut mengeluarkan 10 kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Tred Kebersihan kerana etnik Rohingya yang menyewa di rumah milik warga tempat tidak menghiraukan kebersihan persekitaran rumah yang didiami mereka.

“Dalam serbuan ini, seramai 13 orang penguatkuasa MDK dan 12 anggota Jabatan Imigresen Malaysia terlibat. Bagaimanapun, ketika serbuan pertama di Melor, berlaku kebocoran maklumat dipercayai melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

“Insiden itu menyebabkan kedai makan lain yang diusahakan oleh etnik Rohingya sempat menutup premis sebelum bertindak melarikan diri,” katanya.

Menurut Ronazli, kesemua 22 pati etnik Rohingya yang ditahan akan dibawa untuk menjalani ujian saringan kesihatan berkaitan Covid-19 sebelum mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, MDK juga akan mengambil tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 107(2) Melanggar Syarat Lesen warga tempatan kerana menyewakan premis mereka kepada pati. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI