fbpx
HAMSYINAR (kiri) dan Hamsyidar nekad mengusahakan perniagaan Bahulu Sabut Warisan Sitam di Rembau sejak empat bulan lalu.

[VIDEO] Aroma sabut imbau nostalgia baulu tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN terdapat banyak produk kuih baulu yang dibakar dalam ketuhar di pasaran, namun pembuatan kuih secara tradisional tetap mempunyai penggemarnya tersendiri.

Manakan tidak, kuih baulu yang dibakar menggunakan kayu api dan sabut mempunyai aroma keenakan yang sukar digambarkan dalam kalangan penggemarnya.

Malah, dua beradik dari Rembau, Negeri Sembilan, Hamsyidar Yunus, 39, dan Hamsyinar, 34, tidak menyangka, baulu warisan empat generasi keluarga mereka kini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, bukan hanya dari penduduk kampung, bahkan daripada penduduk dari Kuala Lumpur, Perak dan Melaka.

Mengimbau kenangan membuka perniagaan Bahulu Sabut Warisan Sitam di Rembau itu kira-kira empat bulan lalu, Hamsyidar berkata, pada masa itu mereka berdepan dugaan hebat kehilangan sumber pendapatan.

“Saya pengusaha butik andaman pengantin, manakala adik pula pengusaha kantin sekolah. Sekelip mata akibat Covid-19, kami hilang pendapatan. Masa itu kami fikir, kalau kami buat jualan kecil-kecilan kuih baulu tradisi mungkin kami dapat keluar daripada masalah ini.

“Tak sangka pula, baulu sabut ini ramai peminatnya,” ujarnya kepada K2 ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Batang Nyamor, Rembau.

Hamsyidar berkata, antara reaksi pelanggan yang tidak boleh dilupakannya ialah kehadiran seorang wanita warga emas dari Kuala Pilah.

“Wanita berkenaan sanggup menyuruh cucunya pulang ke kampung selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan untuk membawanya ke sini.

“Dia menepuk-nepuk dadanya dan menangis sebaik tiba di sini kerana teringat arwah wan (neneknya) dahulu membuat baulu menggunakan kaedah sama dan mendoakan agar kami dilimpahi rezeki,” katanya.

 

SABUT digunakan untuk mengawal baulu daripada terlebih masak serta memberikan aroma tersendiri.

 

Acuan tembaga

Menurutnya, walaupun pada awalnya mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan acuan tembaga kuih baulu baharu yang harganya mencecah RM380 satu set, mereka tetap meneruskan usaha berkenaan menggunakan dua buah acuan warisan dan sebuah acuan dipinjam daripada ibu saudara mereka.

“Kini, kami sudah berjaya mendapatkan tiga lagi set acuan tembaga baulu yang dibeli di Banting, Selangor,” katanya yang turut dibantu suaminya, Rizal Mohammad, 46.

Menurut Rizal yang bekerja sebagai penoreh getah, dengan menggunakan enam acuan tembaga itu, mereka mampu menghasilkan kira-kira 300 biji baulu dalam tempoh masa sejam.

“Jumlah ini memang kecil jika dibandingkan penghasilan baulu menggunakan ketuhar. Dalam tempoh sejam sahaja, mungkin sudah beribu baulu dapat dihasilkan.

“Pun begitu, kami tetap berasa seronok melihat pembeli sanggup datang dari jauh untuk merasa sendiri keenakan baulu sabut kami,” katanya.

Kebiasaannya pada hari biasa, mereka menghasilkan lebih 1,200 biji baulu, namun jumlah itu meningkat lebih sekali ganda pada hari cuti serta hujung minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Bagi Hamsyinar yang dipertanggungjawab menjaga kualiti bancuhan kuih baulu, walaupun perniagaan itu baru sahaja bermula, mereka mengimpikan memiliki bengkel yang lebih besar.

Menurutnya, tidak mustahil perniagaan kuih baulu yang diinspirasikan daripada resipi arwah nenek mereka, Sitam mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Buat masa ini memang saudara-mara sahaja yang membantu. Namun, kami tidak menolak sekiranya mendapat bantuan bagi membesarkan lagi perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin berkata, kuih baulu berasal dari Bengkulu, Sumatera, Indonesia.

Menurutnya, kuih berkenaan kepunyaan orang Melayu dan warisan resipinya sudah berusia ratusan tahun.

“Berbanding masak menggunakan mesin (ketuhar) dan sabut, sedap lagi dengan sabut kerana apa saja yang dimasak menggunakan sabut pasti akan sedap disebabkan aura kelapa yang mempunyai pelbagai khasiat serta fungsi,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN