fbpx
POSTER filem Aku, Bunga

Kisah rapper Aku, Bunga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, penulis agak terkejut kerana pengarah tempatan yang seorang ini merupakan antara sutradara kegemaran. Jadi, apabila beliau muncul dengan filem yang menceritakan kehidupan seorang rapper wanita bernama Bunga, penulis agak tertanya-tanya adakah filem berkenaan akan dicernakan dengan sebaik-baiknya.

Lebih menimbulkan tanda tanya, karya berkenaan menampilkan pendatang baharu iaitu Noor Ayu Fatini atau lebih dikenali sebagai Bunga sebagai heroin bergandingan dengan dua hero iaitu Ben Amir dan Naim Danial.

Sejujurnya, Aku, Bunga merupakan satu percubaan terbaik Kabir, namun sebagai pencinta sentuhan yang pernah dizahirkan menerusi judul seperti Nur Kasih, Sepi dan Setem, buah tangan terbaharu kali ini ternyata miliki banyak ruang yang boleh diperbaiki.

Dari segi sinematografi, filem ini bukanlah hasil terbaik kerana secara peribadi, penulis pernah ‘meratah’ produk yang jauh lebih baik daripada Aku, Bunga waima dalam karya televisyen atau bertaraf filem.

NAIM dan Ben Amir masing-masing melakonkan watak bernama Kahoe dan Shaq dalam filem Aku, Bunga.

 

Menyentuh tentang naratif atau jalan cerita filem, ada sesuatu kurang dan tidak diterjemahkan dengan kemas. Secara peribadi, penulis beberapa kali mengelamun kerana terasa seperti terdapat beberapa babak yang lompong ataupun sedikit melompat-lompat.Akibatnya, penghayatan terhadap keseluruhan penceritaan bermula daripada saat pertama karya dimainkan sehingga ke pengakhiran, menjadi sedikit terjejas.

Lakonan, magis Kabir

Bercakap tentang Bunga sebagai karakter utama, penulis tidak mempunyai banyak masalah tentang hal itu memandangkan ini merupakan kali pertama wanita berusia 20 tahun itu berlakon watak penting.

Biarpun boleh dikatakan 70 peratus lakonan Bunga merupakan watak sendiri iaitu sebagai penyanyi rap wanita yang berdepan dengan pelbagai konflik sebelum bertemu kejayaan, banyak lagi ruang kosong perlu diisi untuk dia terus maju dalam bidang lakonan.

Misalnya, babak Bunga mengalirkan air mata atau berdepan situasi sedih perlu banyak lagi diperkemaskan.

Namun, ketika Bunga menjayakan bahagian menyanyi rap, adegan sebegitu sememangnya kepakaran diri pelakon itu. Ruang dan rasa yang diterjemahkan kelihatan semula jadi.

Naim pula secara semulajadinya dilahirkan untuk menjadi seorang pemain filem atau drama. Melakon watak Kahoe, sepintas lalu, lontaran dialog daripada bibirnya seperti tidak datang daripada skrip atau dalam bahasa yang lebih mudah, dia barangkali banyak membuat tambahan.

Watak Shaq oleh Ben Amir pula tidak banyak yang boleh diperkatakan. Mengenali Ben terutama selepas dirinya meletus pasca drama rantaian Sweet Dreams, dia sebenarnya boleh melantunkan watak tersebut dengan lebih baik.

BUNGA (kanan) bersama pelakon Aman Graseka sebagai bapanya dalam satu babak filem Aku, Bunga.

Mungkin ada faktor yang menyebabkan karakternya dalam Aku, Bunga tidak dikembangkan dengan sempurna. Semua itu hanya Ben yang boleh menjawabnya.

Namun, secara peribadi, Ben boleh menjayakan watak Shaq dengan lebih baik.

Kongklusinya, Aku, Bunga bukanlah karya terbaik Kabir Bhatia. Entah mengapa, rasanya sudah agak lama penulis tidak menikmati magis sama cetusan Kabir seperti pesona yang tercipta menerusi Nur Kasih versi drama.

Mungkin sudah tiba masanya juga Kabir kembali berkolaborasi dengan isterinya, Mira Mustaffa yang bertindak sebagai penulis skrip karya fenomenanya sebelum ini menerusi Nur Kasih, Cinta dan Sepi.

 

Filem Aku, Bunga kini ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif bermula 13 Ogos lalu.

 

 

 

BERITA BERKAITAN