fbpx

K2

Bini baharu dera, pijak anak dicerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK tunggal Amin mungkin menanggung derita didera ibu tirinya selama enam tahun perkahwinan lelaki itu dengan isteri baharunya.– GAMBAR HIASAN

 

 

RUMAH TANGGA yang dibina Amin (bukan nama sebenar) bersama wanita yang dicintainya menjadi lebih bermakna setelah mereka dikurniakan cahaya mata pertama. Dia merasakan kehidupannya sudah cukup sempurna pada masa itu.

Tetapi mahligai indah yang Amin cipta tidak berpanjangan apabila isteri tersayangnya itu dijemput menghadap Ilahi dua bulan selepas melahirkan zuriat.

“Isteri saya meninggal dunia dua bulan selepas melahirkan anak pertama kami.

“Saya reda dengan ujian Allah walaupun kami hanya ditakdirkan untuk hidup bersama dalam waktu yang agak singkat, sekurang-kurangnya dia meninggalkan zuriatnya untuk saya jaga,” katanya kepada K2.

Setelah beberapa bulan pemergian isterinya, Amin merasakan anaknya itu memerlukan kasih sayang seorang ibu.

Dalam masa yang sama, dia ada mengenali seorang wanita dan Amin berhasrat untuk menjadikannya sebagai isteri dan ibu buat anaknya. Apabila mereka keluar bersama, Amin turut membawa anak lelakinya itu. Layanan yang diberikan wanita itu terhadap anaknya baik sekali.

“Saya melihat dia melayan anak saya seperti anak kandungnya sendiri. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengahwininya memandangkan anak saya memang memerlukan kasih sayang seorang ibu.

“Ibu dan adik-beradik saya yang lain juga amat menyokong untuk saya berkahwin dengannya. Sekurang-kurangnya akan ada orang yang menjaga anak saya apabila saya keluar bekerja,” katanya

Setelah berkahwin kehidupan mereka amat baik sekali.

Namun, setelah beberapa tahun berkahwin dan ketika umur anaknya enam tahun akhirnya terbongkar perilaku sebenar isterinya itu. Anaknya itu berkemungkinan telah menjadi mangsa penderaan ibu tirinya selama enam tahun perkahwinan.

Tegas Amin semuanya terbongkar setelah anaknya itu bermalam di rumah neneknya dan tidur bersama ibu saudaranya.

“Anak saya memberitahu ibu saudaranya iaitu kakak saya ketika mereka tidur bersama bahawa dia sakit dan tidak mahu tinggal bersama saya dan ibunya.

“Sambil menangis, dia menceritakan kepada kakak saya bahawa dia sering dipukul oleh ibu tirinya. Anak saya menceritakan, dia pernah dipijak di bahagian kepala di dalam bilik air dan pernah dirotan dengan menggunakan getah air ketika di rumah ketika bersama ibu tirinya. Anaknya itu juga sering dibiarkan berlapar.

“Ibu tirinya juga mengugut agar perilakunya itu tidak diceritakan kepada sesiapa,” katanya.

Tambahnya, kakaknya itu merasa terkejut dan merasakan apa yang diceritakan oleh anak kecil itu benar.

 

PENDERAAN turut menyebabkan gangguan emosi kepada kanak-kanak.

 

Amin menyedari, sebelum ini anaknya memang amat takut dengan ibu tirinya itu. Dia berfikir mungkin itu perkara biasa.

“Tetapi apabila difikirkan semula setiap kali saya membawa anak saya datang ke rumah neneknya, sebolehnya dia tidak mahu pulang semula ke rumah kami.

“Dia menangis-nangis nak tinggal dengan neneknya. Tetapi apabila ibunya memujuknya secara peribadi tiba-tiba dia mengubah keputusan untuk pulang ke rumah kami. Emosi anak saya nampak tertekan. Pernah saya melihat dengan satu jelingan daripada ibu tirinya, anaknya yang menangis terus diam,” katanya.

Tambahnya, ada juga dia melihat kesan lebam pada bahagian kepala anaknya. Apabila ditanya, isterinya memberitahu anaknya itu terjatuh di dalam tandas ketika mandi.

Setiap kali Amin pulang daripada kerja, anaknya sering mengadu lapar dan dia tidak mengesyaki apa-apa sekadar merasakan anaknya itu dalam fasa membesar dan sudah semestinya sentiasa berasa lapar.

Tegasnya, setelah didesak berkali-kali oleh ahli keluarga yang lain akhirnya isterinya mengaku dia ada mendera anak tirinya itu.

“Dia berkata, anak saya itu bukan darah dagingnya dan dia tidak sayang kepadanya. Atas sebab itu, dia berbuat demikian.

“Hati saya remuk apabila mendengar pengakuan itu. Saya sangkakan dia amat menyayangi anak saya sebaliknya dia benci dengannya,” kata Amin.

Setelah kejadian itu, anaknya itu dijaga oleh nenek dan ibu saudaranya.

Setelah persetujuan dicapai, akhirnya Amin dan isteri baharunya itu sah bercerai di sebuah mahkamah rendah syariah di Utara.

“Di mahkamah, wanita itu langsung tidak menunjukkan rasa bersalah bahkan tidak pernah meminta maaf kepada saya dan keluarga. Dia juga tidak kisah untuk bercerai.

“Saya sudah berasa tawar hati dengannya. Mengenangkan perbuatannya terhadap anak saya, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menceraikannya dengan talak satu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI