SIAPA sangka minat yang pada awalnya sekadar hobi bertukar menjadi punca keretakan rumah tangga dan perceraian.
Membuka kisah bersama K-Wanita, Amran (bukan nama sebenar) tidak berniat membuka pekung bekas isterinya apatah lagi mengungkit kejadian yang sudah lama berlalu.
Cumanya, perkongsian dilakukan sekadar niat berkongsi sekali gus memberi kesedaran terutama kepada pasangan suami isteri bahawa perceraian boleh berlaku dalam apa jua cara.
Beritahu Amran, 48, bekas isterinya sebelum ini berubah secara drastik sejak aktif dalam komuniti hiasan (makeup) kereta selepas dua tahun bernikah.
Akui anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu, pada peringkat awal dia tidak menghalang minat isterinya kerana menyangka ia hanya aktiviti biasa untuk mengisi masa lapang.
“Mulanya saya sokong sahaja apa yang isteri suka. Sebab sejak kenal dengan dia memang saya tahu dia suka dengan kereta dan dunia automotif.
“Minat dia semakin kelihatan apabila bertemu dan kenal komuniti dalam laman sosial yang sama-sama berkongsi minat sama,” katanya membuka cerita.
Menurut eksekutif kanan kewangan itu, lama-kelamaan minat tersebut semakin melampau sehingga isterinya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah berbanding bersama keluarga.
Lebih menyakitkan hati, isterinya juga sering keluar pada waktu malam untuk berkumpul bersama rakan-rakan yang berkongsi minat sama meskipun meminta izin.
Malah, ada kalanya dia pulang lewat tanpa memikirkan keadaan anak-anak dan kerjayanya di sebuah syarikat swasta.
“Bila saya balik kerja, rumah kosong. Anak-anak pun terbiar dan kadangkala saya yang urus sendiri. Mujurlah anak sudah besar sedikit dan pandai uruskan diri.
“Makan minum kami sekeluarga pun tidak terjaga macam dulu. Anak selalu tanya mana ibu dia. Apa yang saya boleh cakap ibu mereka sibuk bekerja dan ada urusan lain,” katanya.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali menasihati isterinya supaya mengutamakan keluarga, namun teguran tersebut sering berakhir dengan pertengkaran.
“Bila saya tegur, dia marah saya balik. Dia kata itu minat dia, jangan sesekali halang atau complain (merungut) apa yang dia minat.
“Saya faham maksud dia. Saya tidak pernah halang. Cuma saya tegur atas dasar seorang suami kepada isteri. Tidak lebih daripada itu,” tuturnya.
Lebih mengejutkan, duit wang hasil gaji bulanannya banyak dihabiskan untuk keretanya termasuk membeli pelbagai aksesori dan barangan hiasan mewah lain.
“Kadang-kadang ribuan ringgit dia habis untuk kereta sahaja.
“Mentang-mentang saya bekerja dan mampu menyara nafkah untuk kami sekeluaga,” katanya.
Hal itu menyebabkan hubungan mereka semakin renggang. Di rumah, komunikasi semakin dingin.
Ada hari akui Amran, mereka langsung tidak bertegur sapa walaupun tinggal sebumbung.
“Jiran-jiran terdekat turut menyedari perubahan tersebut apabila sering melihat saya bersama anak-anak tanpa kehadiran isteri.
“Isteri pula lebih selesa meluangkan masa di luar bersama rakan-rakan dan keretanya. Rumah macam tempat tumpangan sahaja bagi dia,” katanya.
Lama bertahan dan segala tindakan serta teguran tidak berjalan, Amran mengambil keputusan untuk menamatkan perkahwinan mereka.
Baginya, rumah tangga memerlukan komitmen dan pengorbanan kedua-dua pihak, bukan sekadar memenuhi kepuasan diri semata-mata.
Kini, dia hanya berusaha dan berharap anak-anaknya dapat membesar dalam keadaan lebih baik tanpa kehadiran seorang ibu di sisi.
“Cukuplah saya bertahan selama ini,” katanya ringkas seraya menutup kisah lebih sedekad itu.














