fbpx

Penganggur didakwa pukul anggota polis hingga parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Azira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menendang anggota polis sehingga menyebabkan cedera parah pada minggu lalu.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menendang anggota polis sehingga menyebabkan cedera parah pada minggu lalu.

Tertuduh, Saiful Azira Anuar, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Koperal Mohamad Hafiz Abu Bakar dengan cara menendang tulang rusuk mangsa ketika beliau sedang menjalankan tugas sebagai anggota pengawal lokap Balai Polis Melaka Tengah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 malam di hadapan sebuah lokap di balai tersebut 9 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan mencabut dan mematahkan papan lantai sel lokap balai polis sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM25.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM15, 000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan telah diberhentikan kerja ekoran pendemik Covid-19 dan perlu menanggung tiga orang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5, 000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI