fbpx

Talian internet ‘nyawa’ e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZRUDIN yang dikenali sebagai Din Jumper pernah berdepan masalah dengan tahap kelajuan internet di kawasan perumahannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

TAHAP kelajuan internet amat penting dalam dunia e-Sukan bahkan diibaratkan ‘nyawa’ kepada para pemain permainan video (gamer).

Pemain profesional negara, Izzrudin Hashim yang mewa­kili Yoodo Gank iaitu pasukan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile No. 1 Asia Tenggara, pernah meluahkan kesulitannya apabila bermain dengan capaian internet ‘lembab’.

Gamer dengan gelaran Jum­per itu terpaksa berdepan kesukaran bermain dengan tahap kelajuan jalur lebar 10 megabait sesaat (Mbps) di kawasan perumahannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Kadang-kadang bacaan ping mencecah 100 hingga 150ms (milisaat) berbanding purata ping pemain-pemain lain iaitu 20 hingga 30ms,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

IZZRUDIN ceria bersama replika cek selepas muncul naib juara pada pertanding PUBG Mobile Club Open pada tahun lalu.

 

Mujur, masalah Izzrudin tidak berlarutan panjang apabila beberapa pihak bertanggungjawab tampil segera menyelesaikan masalah tersebut.

Keadaan internet yang tidak stabil boleh mewujudkan kelewatan reaksi dan permainan tersekat-sekat mampu me­nyaksikan pemain dibunuh atau ditembak musuh, sekali gus me­rugikan pasukan.

Akibatnya, ada yang pernah menunjukkan kelakuan agresif seperti membaling alat kawalan konsol permainan PlayStation ke dinding atau menghempas te­lefon ke lantai gara-gara bengang dengan talian internet ‘lembab’.

Para pemain memerlukan jaringan internet yang stabil supaya bacaan ping mereka rendah, sekali gus mendapat pengalaman bermain dengan lebih baik.

Masalah itu bukan sahaja dirasai gamer dalam genre permainan peperangan dan penembak pertama (FPS) se­perti Mobile Legends, Dota 2 serta PUBG, malah turut menghantui pemain-pemain profesional permainan video FIFA.

SAID (kanan) menerima jersi pasukan PJ City FC daripada Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab. Ghani Hasan pada saingan eMFL bulan lalu.

 

Terbaharu, Muhammad Faid Mohd. Said yang mewakili PJ City FC dalam saingan eMFL bulan lalu, meluahkan kekecewaannya kerana terpaksa menggunakan kelajuan internet terhad, sekali gus membataskan peluangnya bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Semua orang tahu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, pertama sekali adalah talian internet mesti ‘bagus’. Ramai gamers di luar sana menghadapi masalah sama, ada potensi besar tetapi dibataskan dengan kelajuan internet terhad.

“Saya bermain secara kompetitif menggunakan internet perlahan sejak FIFA 17. Kalau FIFA 21 sudah keluar dan masalah internet belum selesai, cukup lima edisi FIFA saya bersaing berbekalkan internet 8 Mbps.

“Mahu kena tunggu (saya) jadi wakil Malaysia, baru ada pihak ambil tindakan atau tunggu kes viral dahulu hari ini, esok mesti akan selesai,” luahnya dalam laman Facebook peribadinya baru-baru ini.

Bagi gamer amatur yang mahu dikenali sebagai shinigami101, dia terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain semata-mata mahu mendapatkan kepuasan pengalaman bermain.

“Saya perlukan internet yang stabil untuk bermain Mobile Le­gends supaya ping saya cantik, kalau tidak saya memang jadi ‘lauk’ kepada pihak lawan dan membebankan pasukan sendiri,” jelasnya.

Semua pertandingan e-Sukan di Malaysia sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada Mei lalu dianjurkan secara online dan memudahkan para peserta yang hanya memerlukan talian internet yang bagus.

Antaranya ialah eMFL anjuran Liga Bola Sepak Malaysia untuk permainan video FIFA dan Mobile Legends MPL Jemputan Empat Negara yang membabitkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Myanmar.

Mahu tidak mahu, gamer yang menjadikan e-Sukan sebagai periuk nasi mereka perlu berkorban mendapatkan akses sambungan internet tanpa had dan lebih pantas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI