fbpx

Skuad Kedah terima sebulan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANUSI (duduk di tengah) bergambar bersama para pegawai dan pemain skuad Helang Merah selepas majlis makan malam di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar malam kelmarin. – KFA MEDIA

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

SELEPAS lebih lima bulan menunggu, pemain dan barisan kejurulatihan skuad Helang Merah akhirnya menerima sebulan gaji iaitu tunggakan untuk Julai yang dimasukkan ke akaun masing-masing kelmarin.

Namun, pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih belum mampu memberi jawapan tepat mengenai tarikh sebenar tunggakan gaji bagi Mac, April, Mei dan Jun akan selesai.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor bagaimanapun tetap optimis mampu menyelesaikan segala masalah melanda dengan menyatakan janji di hadapan jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar bahawa semua hutang tersebut akan dilangsaikan sebelum musim ini berakhir.

“Jaminan saya adalah semua ini akan selesai musim ini juga, kita tidak akan keluar daripada musim ini dengan hutang dan itu janji saya,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar malam kelmarin.

Terdahulu, Sanusi mengadakan majlis makan malam bersama para pemain Kedah di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Selain menzahirkan penghargaan terhadap kesabaran dan komitmen anggota pasukan, Sanusi turut melafazkan permohonan maaf bagi pihak pengurusan lama dan baharu ekoran isu yang melanda pasukan tersebut.

Kata Sanusi, beliau sudah pun mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan penyusunan semula jadual pembayaran caruman yang tertunggak sejak tahun 2019.

Selain itu ujar beliau, rundingan bersama penaja pada musim ini yang masih belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak turut dijalankan.

“Kita sudah cetak banyak jersi dengan meletakkan logo penaja dalam saiz besar di sana dan sini, namun belum ada sumbangan buat pasukan.

“Setelah berunding, mereka kata akan cuba penuhi tetapi saya difahamkan tidak sampai 50 peratus pun daripada jumlah penajaan asal,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya faham perniagaan mereka mungkin terjejas akibat pandemik Covid-19 tetapi KFA telah menunaikan komitmen seperti dalam kontrak dan kini masanya untuk pihak penaja menunaikan komitmen mereka.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pemotongan gaji pemain, Sanusi menjelaskan, perkara tersebut akan dibincangkan antara kedua-dua belah pihak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI