fbpx
Jenazah dua keluarga seramai 7 orang dikebumikan 7 malam semalam.

‘Dua kali dengar bunyi hon treler’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – “Saya dengar dua bunyi hon yang panjang dari sebuah treler sebelum berlaku dentuman kuat di atas jalan raya.”

Demikian cerita seorang pe­niaga warung di Jalan Keramat Pulai di sini, Syazwan Muhd. Suhaimi, 21, yang menjadi antara saksi terawal kepada nahas ngeri membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Pe­rodua Alza dengan sebuah treler sehingga mengorbankan tujuh nyawa kelmarin.

Menurut Syazwan, sebaik ke­dua-dua kenderaan itu bertembung, dia turut mendengar jeri­tan kesakitan beberapa mang­sa dari Perodua Alza berkenaan.

“Selepas melihat beberapa mangsa dalam kenderaan tersebut yang saling bertindih, saya dan beberapa pelanggan terus keluar dari kedai dan menuju ke lokasi nahas.

“Salah seorang daripada orang awam turut bertindak memecahkan cermin Perodua Alza tersebut memandangkan terdapat kepulan asap di dalam kendera­an itu. Kami juga membuka but bagi mengeluarkan mangsa,” kata­nya di sini semalam.

Syazwan berkata, mereka berjaya mengeluarkan dua kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa, namun baki penumpang lain tidak dapat ditarik keluar.

“Kami berdepan kesukaran memandangkan kenderaan ber­kenaan dalam keadaan terbalik selain kecederaan parah dialami mangsa.

“10 minit kemudian baru pihak bomba tiba untuk mengeluarkan mangsa yang lain,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian tersebut merupakan kejadian pertama yang berlaku berhampiran kedainya yang terletak hanya kira-kira 10 meter dari jalan raya.

“Hati saya sangat sayu, namun sedikit lega apabila berjaya menolong tiga daripada mereka,” katanya yang memulakan perniagaan sejak Disember lalu.