fbpx

Ramai dibuang kerja tanpa melalui JTK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Senario pemberhentian pekerja akibat pandemik Covid-19 dilihat membimbangkan apabila segelintir majikan dikesan melakukan penamatan perkhidmatan pekerja tanpa memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Seksyen 63 Akta Kerja 1955 jelas menyatakan bahawa majikan harus mengisi Borang Pemberhentian Kerja (PK) jika melakukan pemberhentian pekerja sama ada pemberhentian tetap, sementara atau secara sukarela.

Beliau berkata, majikan yang mengurangkan gaji pekerja juga perlu mengisi Borang PK sebelum menyerahkannya ke Pejabat Tenaga Kerja sekurang-kurangnya 30 hari sebelum melakukan sebarang pemberhentian atau pengurangan gaji.

“Kegagalan majikan menyerahkan Borang PK itu dikesan apabila terdapat jurang perbezaan ketara ketika membandingkan data terimaan Borang PK oleh majikan dengan borang Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diisi sendiri oleh pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan.

“Borang PK adalah data penting dalam mengenal pasti pekerja yang memerlukan bantuan dari segi pencarian dan pemadanan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata, jumlah pekerja yang diberhentikan melalui data terimaan Borang PK dari Januari sehingga Julai adalah 44,426 orang pekerja tempatan.

Katanya, angka tersebut adalah rendah berbanding jumlah pekerja yang telah mengisi borang SIP iaitu seramai 67,068 orang.

“Perbezaan seramai 22,642 orang bukan satu jumlah yang kecil tetapi amat ketara perbezaannya dan ini merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang didapati dengan sengaja tidak mengisi dan tidak menyerahkan Borang PK selepas melakukan pemberhentian pekerja atau pengurangan gaji.

“Kegagalan majikan untuk mengemukakan Borang PK jelas melanggar Akta Kerja 1955 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI