fbpx

Konsert sulung Khai Bahar diteruskan, tukar nama tukar lokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POSTER konsert Khai Bahar yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Penerbit Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia, Fauziah Ahmad Daud komited untuk meneruskan penganjuran konsert berkenaan.

Fauziah atau dikenali sebagai Ogy berkata, buat masa sekarang pihaknya sedang berbincang mengenai beberapa perkara termasuk mendapatkan lokasi persembahan yang baharu.

“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.

“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala,” katanya.

FAUZIAH AHMAD DAUD (kiri) dan Khai Bahar.

 

Menurut Ogy, konsert yang sudah 80 peratus sedia dipersembahkan tersebut wajar diteruskan.

“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.

“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. Insya Allah kita nak buat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Mengenai status lokasi di Istana Budaya, Ogy berkata kapasiti yang dibenarkan tidak berbaloi dengan kos dibelanjakan untuk penganjuran konsert itu.

“Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak akan berlangsung di Istana Budaya, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak,” katanya.

Terdahulu, konsert sulung Khai dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya terpaksa ditunda berikutan pengumuman kerajaan bahawa semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan akibat penularan pandemik Covid-19. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI