fbpx

K2

Rezeki berganda kaki joran di kolam pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Syuhairy menunjukkan hasil tangkapan ikan yang diperolehnya selepas mencuba nasib di kolam ikan air masin di Batu Kawan baru-baru ini.

DI kelilingi dengan tumbuhan yang hidup di kawasan muara laut, pokok bakau dan pemandangan hijau Bukit Tambun nyata menggamit kunjungan puluhan kaki pancing setiap hujung minggu.

Berkeluasan 0.8 hektar dengan permukaan kolam air masin sedalam 2.4 meter, Kolam Pancing Rizqeen di Batu Kawan, Pulau Pinang sememangnya menjadi sasaran tepat kumpulan pemancing tegar.

Mengetengahkan konsep santai, pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu berteduh di bawah rimbunan pokok atau di pondok kayu ataupun secara terbuka di tepi kolam dan berdiri di atas titi terapung sepanjang 20 meter.

Pengusaha kolam, Amiruddin Nasrudin, 42, berkata, perniagaan yang diusahakan sejak 1 Jun tahun lalu itu diselianya bersama seorang lagi rakan, Farizan Noh, 42.

Katanya, idea pembukaan kolam ikan ini selepas mendapati jumlah peminat kaki pancing yang semakin bertambah, selain tempatnya yang strategik berdekatan muara laut yang sesuai dijadikan lokasi untuk memancing.

“Sebanyak dua tan ikan spesies kerapu, nyok-nyok, jenahak, siakap merah dan siakap putih akan dimasukkan ke dalam kolam ini setiap bulan.

“Bekalan ikan pula diperoleh dari kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 

KAKI pancing yang mengunjungi kolam pancing tersebut kebiasaannya tidak pulang dengan tangan kosong.

 

Penyelenggaraan kolam

Mengenai penjagaan kolam air masin, rakannya Farizan memberitahu, kerja-kerja penyelenggaraan kolam termasuk pengeringan akan dilakukan setiap enam bulan.

“Kami mementingkan kebersihan dan persekitaran kolam ini. Di sini, kami juga tak benarkan mereka (pelanggan) menggunakan umpan tiruan.

“Kami menyediakan umpan udang hidup, belanak, kembung dan sardin. Di sampig itu, pelanggan juga boleh membawa umpan mereka sendiri,” ujarnya.

Kolam itu dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Seorang pemancing, Mohd. Syuhairy Md. Rozi, 29, berkata, dia berkunjung ke kolam tersebut dua kali seminggu dan tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

Jelasnya, sebelum ini dia sanggup bermalam selama dua hari di laut persekitaran Yan, Kedah serta Pulau Aman dan Pulau Kendi di Pulau Pinang semata-mata kerana minat memancing.

“Namun, selepas mendapat tahu tentang pembukaan kolam ini, saya tidak lagi memancing di laut sejak tahun lalu.

“Di sini, saya kebiasaannya akan membawa balik tiga hingga sembilan ekor ikan seperti jenahak, siakap merah dan kerapu,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Mohd. Syuhairy yang bekerja sebagai mekanik memberitahu, memancing di kolam tersebut tidak melibatkan kos tinggi, cuma RM70 digunakannya untuk pembelian umpan udang besar, selain bayaran masuk RM55 untuk tempoh tiga jam setengah.

Untuk tambahan, sebanyak RM15 dikenakan bagi setiap jam berikutnya.

 

SEORANG pengunjung, Mohamad Fazil Mohd. Asri tersenyum selepas berjaya menjinakkan kerapu dan siakap.

 

Seorang lagi pemancing, Muhammad Afdzal Abdul Malik, berkata, pemilihan kolam itu adalah disebabkan lokasinya yang selesa dan keselamatan terjamin.

“Jika di laut, cabarannya amat berisiko dan jarang membawa balik hasil ikan, namun di sini, kita berpeluang mendapat sekurang-kurangnya seekor ikan. Itupun sudah memadai.

“Selalunya, saya pulang membawa hasil tangkapan lebih daripada dua ekor ikan jenis kerapu, siakap dan jenahak. Umpan pula, saya akan menggunakan ikan sardin dan termenung (kembung) yang dipotong kecil,” jelasnya.

Muhammad Afdzal yang bekerja sebagai jurutera kilang berkata, dia amat menitikberatkan penggunaan peralatan memancing yang bersesuaian seperti tali, saiz mata kail, ladung dan umpan bersesuaian.

Tambahnya, pihak pengurusan kolam pancing itu patut dipuji kerana menyediakan kemudahan surau dan tandas, selain gerai makanan yang menyajikan hidangan lazat pada harga berbaloi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI