SEBERANG PERAI – Seramai 31 penagih dadah lelaki termasuk seorang warga Thailand dicekup polis dalam serbuan di kawasan semak di sekitar Kuala Muda, Kepala Batas di sini semalam.
Operasi selama kira-kira 14 jam berakhir pukul 8 malam itu dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyasarkan sarang penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menahan suspek berusia 20 hingga 62 tahun bersama sejumlah dadah bernilai RM9,000.
“Hasil pemeriksaan di lokasi-lokasi tersebut telah menjumpai 76.4 gram (g) dadah disyaki jenis syabu, (16.1 g) heroin, (19 biji) pil Eramin 5 dan (0.3 g) ganja.
“Manakala ujian saringan urin ke atas kesemua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan buruh itu didapati positif morfin atau methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata, dua suspek direman selama tujuh hari, 10 suspek (empat hari) dan 19 suspek (14 hari) bermula hari ini bagi siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE














