fbpx

Bapa ditahan selepas hempas anak minta air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA KANGSAR – Berang selepas anak meminta air, seorang bapa tergamak menghempas kanak-kanak perempuan yang berusia tujuh tahun itu ke lantai dalam kejadian di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas dekat sini Ahad lalu.

Kejadian kira-kira pada pukul 8.20 malam itu menyebabkan kanak-kanak perempuan berkenaan mengalami kecederaan luka di dahi selain bengkak selepas kepalanya terkena bucu meja makan ketika dihempas bapanya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, kejadian tersebut disedari ibu mangsa yang berusia 40 tahun ketika dia sedang menguruskan jadual persekolahan anak-anaknya.

“Suspek yang sedang makan ketika itu secara tiba-tiba marah dan mengangkat mangsa dan menghempasnya ke lantai sebelum dahi kiri mangsa terkena bucu meja makan.

“Mangsa menjerit dan menangis kesakitan dan dia dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan sebelum dia dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Zahiri, siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu marah apabila mangsa menghampirinya dan meminta air di atas meja makan ketika dia sedang menjamu selera.

“Suspek telah melarikan diri selepas kejadian tersebut namun polis berjaya menahan di rumahnya pada pukul 12 tengah hari kelmarin.

“Semakan rekod mendapati suspek yang baru dua minggu keluar dari penjara akibat kesalahan jenayah itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI