fbpx

Jerut isteri minta cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa dijerut sampai mati di dalam keretanya sebelum ditinggalkan di sebuah tasik di Cyberjaya dalam kejadian pada 29 Julai lalu.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

SEPANG – Gara-gara terlalu marah isteri minta cerai, seorang lelaki bertindak menjerut leher wanita itu sehingga mati menggunakan tudung yang dipakai dalam kejadian di Taman Mas, Putra Perdana dekat sini pada 29 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek, 41, bertindak menjerut leher mangsa berusia 40 tahun kira-kira 10 minit sehingga mati di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih.

Menurutnya, suspek kemudian membawa mayat mangsa menghala ke tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya kira-kira pukul 4.30 petang dan menukarkannya ke tempat pemandu serta meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta dihidupkan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak menghubungi MERS 999 pukul 1.04 pagi dan memberitahu isterinya tidak sedarkan diri di dalam kereta berhampiran tasik tersebut.

“Suspek menyatakan dia bersama pemandu Grab mencari mangsa dari rumah mereka di Putra Perdana sehingga menjumpai kereta tersebut dan kemudian menghubungi polis apabila mendapati isterinya tidak bergerak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa melainkan telefon bimbit dan beg duit tiada bersamanya tetapi gelang emas masih dipakai di pergelangan tangan kiri.

Berikutan itu, beliau berkata, mayat wanita terbabit dihantar ke Hospital Serdang dan hasil bedah siasat pada 30 Julai lalu mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘compression of neck’.

Katanya, siasatan dijalankan ke atas suspek juga mendapati hubungan mereka mempunyai masalah dan lelaki tersebut telah melafazkan cerai kepada mangsa pada 24 Jun lepas.

“Susulan itu, suami mangsa ditahan di perkarangan Hospital Serdang pukul 12.30 tengah hari pada 30 Julai lepas dan suspek mengaku menjerut leher mangsa menggunakan tudung yang dipakainya.

“Pasukan polis juga dipandu arah oleh suspek menunjukkan tempat barang milik mangsa dibuang di hadapan Masjid Putra Perdana dan sehelai baju kemeja batik berwarna hitam,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku memecahkan telefon jenis Samsung milik mangsa menggunakan seketul batu bertujuan merosakkannya sebelum dibuang ke dalam tasik Taman Putra Perdana namun ia tidak ditemui.

“Suspek mengaku membunuh mangsa kerana marahkannya yang tetap mahu bercerai. Pasangan tersebut berkahwin pada 2005 serta mempunyai seorang anak perempuan berusia 14 tahun.

“Mangsa bekerja sebagai pensyarah manakala suspek ialah sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan serta tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Ogos depan bagi meneruskan dan melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI