fbpx
Gambar hiasan.

Covid-19 jejaskan sektor perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULARAN pandemik Covid-19 sejak akhir tahun lalu telah memberi impak besar terhadap ekonomi di seluruh dunia.

Hampir semua negara pada ketika ini mengalami kemelesetan ekonomi disebabkan pelaksanaan perintah berkurung (lockdown) yang dibuat sebelum ini menyebabkan banyak sektor ekonomi tergendala atau terhenti.

Di Malaysia, kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir tiga bulan bermula 13 Mac hingga 3 Mei lalu untuk memutuskan rantaian Covid-19. Ini turut menyebabkan pelbagai sektor ekonomi menghadapi kesukaran dan orang ramai terbatas untuk melakukan aktiviti harian, selain aktiviti merentas negeri dan negara dilarang sama sekali.

Bagaimanapun, ia dilonggarkan mengikut keperluan semasa berdasarkan jumlah kes terkini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 4 Mei hingga 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, ia dilonggarkan mengikut keperluan semasa berdasarkan jumlah kes terkini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 4 Mei hingga 9 Jun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Mei hingga 31 Ogos ini.

Sepanjang PKP, banyak sektor ekonomi yang sebelum ini menjana keuntungan besar mengalami kerugian antaranya perhotelan, pendidikan, penerbangan dan pelancongan.

Malah, terdapat syarikat-syarikat yang memilih untuk ‘gulung tikar’ disebabkan sudah tidak mampu menampung kos operasi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei lalu, kadar pengangguran dalam negara dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang akhir tahun ini.

Malaysia tidak pernah menyaksikan kadar pengangguran lima peratus sejak tahun 1990 dan rata-rata adalah sebanyak 3.2 peratus antara 2010 dan 2019.

Bagi mengulas lanjut mengenai kesan Covid-19 kepada pekerja, majikan dan ekonomi secara keseluruhan, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan mewawancara Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan di pejabatnya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

KOSMO! AHAD: Dalam keadaan negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 ketika ini, adakah langkah majikan membuang pekerja bagi mengurangkan kos perniagaan dianggap wajar?

SHAMSUDDIN: Pembuangan pekerja bukanlah satu keputusan mudah untuk dibuat oleh majikan. Justeru, MEF sentiasa menasihati majikan supaya langkah tersebut dibuat sebagai pilihan terakhir.

MEF bimbang jika ekonomi kembali pulih selepas ini, majikan terpaksa mengeluarkan kos untuk mengambil dan melatih pekerja baharu.

Bagi mengelakkan pekerja diberhentikan, kita menyarankan supaya majikan mengambil langkah-langkah lain seperti menggalakkan mereka bekerja dari rumah atau melakukan pemotongan gaji.

Mengapakah hal itu masih berlaku meskipun kerajaan telah menyediakan Program Bantuan Subsidi Upah di bawah pakej Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan?

Ramai tidak faham, majikan masih perlu membuang pekerja disebabkan pakej ransangan yang disediakan oleh kerajaan mempunyai keterbatasan tertentu. Misalnya, hanya 200 pekerja layak memohon untuk mendapatkan subsidi upah itu.

Jadi, mereka yang tergolong dalam kumpulan 200 orang itu pasti terselamat daripada diberhentikan, manakala selebihnya mungkin terpaksa dibuang. Sepatutnya, skim-skim yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan perlu lebih menyeluruh dan tempohnya lebih panjang.

 

SHAMSUDDIN menyarankan agar majikan dan pekerja duduk berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan bersama.

 

MEF amat bimbang sekiranya tempoh program subsidi upah tamat pada September ini, majikan-majikan yang masih tidak mampu menampung gaji pasti akan membuang pekerja mereka.

Selain daripada pemotongan gaji dan bekerja dari rumah, apakah langkah lain yang boleh diambil oleh majikan bagi memastikan pekerja tidak diberhentikan?

MEF sentiasa menggalakkan majikan dan pekerja duduk bersama dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik yang boleh diambil bagi mengurangkan kos operasi, sekali gus mengelakkan langkah penamatan pekerjaan.

Antara langkah lain yang boleh diambil secara bersama termasuklah cuti tanpa gaji, mengurangkan jumlah hari bekerja atau langkah-langkah lain yang difikirkan wajar.

Malangnya, kita menerima banyak laporan bahawa amat sukar untuk majikan mendapat kata putus kerana ramai pekerja tidak bersetuju dengan langkah yang ingin diambil, terutamanya dalam kalangan pekerja bawahan. Mereka berpendapat, wajar menerima gaji dan elaun penuh meskipun tidak bekerja penuh ketika PKP atau PKPP.

MEF juga mencadangkan kepada kerajaan untuk membuat satu peruntukan supaya caruman majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dapat dikurangkan.

Langkah ini sangat penting bagi memastikan aliran tunai syarikat kembali stabil, sekali gus dapat menjamin gaji pekerja setiap bulan.

Apakah industri-industri yang dilihat mengalami impak besar selepas pandemik Covid-19? Berapa banyak perniagaan yang telah gulung tikar?

Industri paling teruk terjejas akibat Covid-19 adalah perhotelan, tekstil, penerbangan serta pelancongan. Kita lihat banyak hotel terkemuka yang terpaksa membuang pekerja atau menutup terus operasi.

Saya difahamkan, beberapa syarikat tekstil di Kelantan dan Pulau Pinang yang menggaji hampir 2,000 pekerja tempatan juga menutup operasi. Selain itu, hampir 50 peratus daripada 650,000 syarikat industri kecil dan sederhana turut mengalami kesan langsung akibat Covid-19 .

Kebanyakan syarikat ini mempunyai masalah aliran tunai dan ketahanan kewangan dan mampu bertahan dua bulan sahaja.

Adakah majikan yang bergantung kepada pekerja asing akan mengalami impak selepas kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor hingga akhir tahun ini?

Kita melihat tindakan kerajaan menangguhkan pengambilan baharu pekerja asing hingga akhir tahun ini adalah wajar. Hal ini kerana, kita tidak perlu menambah lagi jumlah pekerja asing di negara ini yang dianggarkan mencecah 2.2 juta orang.

Daripada jumlah itu, ramai pekerja asing turut terjejas akibat pendemik Covid-19 dan ada antara mereka juga kehilangan pekerjaan. Meskipun begitu, majikan masih perlu menanggung kos penginapan dan makanan mereka disebabkan sekatan perjalanan ke luar negara.

Justeru, MEF mencadangkan kepada kerajaan supaya membenarkan pekerja asing yang dibuang kerja kembali bekerja dalam sektor lain yang memerlukan khidmat mereka. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos kepada majikan lama mereka sebelum ini.

 

BAGI Shamsuddin, pembuangan pekerja bukan satu keputusan mudah untuk dibuat oleh majikan.

 

Adakah majikan bersedia untuk menggaji tenaga kerja tempatan untuk mengambil alih kerja-kerja yang ditinggalkan oleh pekerja asing?

Saya yakin para majikan di negara ini sentiasa terbuka untuk mengambil tenaga kerja tempatan kerana lebih mudah untuk dilatih dan tidak perlu dihantar pulang selepas tempoh tertentu.

Saya juga berasakan upah bukanlah faktor utama majikan enggan mengambil pekerja tempatan kerana gaji yang dibayar kepada pekerja asing juga agak tinggi.

Meskipun sektor tersebut menawarkan peluang besar, namun masyarakat memandang sebelah mata sektor-sektor yang dimonopoli oleh pekerja asing ini kerana dianggap tidak popular.

Apakah langkah yang perlu diambil untuk menarik minat pekerja tempatan bekerja dalam sektor yang dimonopoli oleh pekerja asing seperti kotor, bahaya dan sukar (3D)?

Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan menjenamakan semula sektor-sektor pekerjaan 3D ini. Misalnya, kerajaan boleh memberi insentif kepada para pemaju untuk menggunakan Sistem Binaan Berindustri Dan Rumah Pasang Siap (IBS) dan bukan pembinaan di tapak.

Dengan penggunaan IBS, pastinya dapat memudahkan kerja-kerja pembinaan menerusi penggunaan teknologi dan tidak perlu berada di tapak pembinaan yang kotor, sekali gus menarik minat pekerja tempatan.

Dalam sektor keselamatan pula, terdapat kira-kira 400,000 pekerja asing bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika ini. Jumlah itu dapat dikurangkan sekiranya kerajaan menjenamakan kerja pengawal keselamatan kepada polis bantuan sepenuhnya.

Jawatan polis bantuan pastinya lebih dipandang tinggi oleh masyarakat kerana memerlukan kriteria-kriteria tertentu seperti sijil, sihat tubuh badan dan kemahiran menggunakan senjata api.

Apakah bantuan lain yang wajar difikirkan oleh kerajaan dalam membantu majikan-majikan terutamanya menerusi Bajet 2021?
Saya berharap Bajet 2021 nanti lebih tertumpu kepada usaha menolong masyarakat termasuk majikan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Saya berasakan ada keperluan untuk kerajaan mengurangkan cukai kepada rakyat dan majikan agar kuasa beli kembali meningkat, sekali gus dapat merancakkan ekonomi.

Peningkatan kuasa beli dapat membantu syarikat tempatan meningkatkan jualan dan membuat keuntungan untuk terus beroperasi.

Dalam norma baharu ini, saya juga berharap kerajaan dapat memberi insentif kepada majikan yang menggalakkan pekerja bekerja dari rumah. Ia dapat memberi motivasi kepada majikan untuk menyediakan sedikit dana bagi menyediakan tempat kerja lebih selesa di rumah.