SELEPAS hampir lima bulan melalui fasa berhijab, Ernie Zakri berkata, semangatnya untuk meneruskan langkah dalam industri tidak akan berhenti bahkan semakin menebal.
Ernie bukan penyanyi sembarangan, bintangnya bersinar terang bukan selayaknya digelar antara pemilik vokal terbaik lagi disenangi peminat dunia seni suara ketika ini.
Ketika setiap geraknya diperhatikan, Ernie Zakri tiba-tiba mengambil keputusan besar dalam hidup apabila mengenakan hijab pada 24 Mac lalu.
Ernie mengakui, nuraninya benar-benar terjentik mahu melakukan perubahan selepas dunia dilanda pandemik wabak Covid-19 sejak Mac lalu.
Dari situ, timbul kebimbangan dalam hatinya, bagaimana sekiranya dunia sudah menghampiri titik penghujung. Sebagai hamba, dia juga mahu bersedia.

Pada masa sama, persoalan tabu dalam dunia hiburan karier seseorang artis diramal terus merudum atau tidak lagi diminati selepas berhijrah melingkar dalam fikirannya.
Bagi pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakrie, ini adalah masa terbaik untuk meneruskan langkah dalam industri dengan imej baharu.
Pendek kata, hijab bukan penghalang untuknya menempa kejayaan.
“Saya tidak nafikan, ada peminat menganggap karier saya akan perlahan selepas berhijab. Ironinya, hijab membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan langkah dalam bidang ini.
“Saya banyak lihat contoh yang boleh dijadikan ikutan seperti Neelofa dan Mira Filzah. Meskipun berhijab, mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kita tidak boleh tunjuk kepada orang luar bahawa hijab membataskan banyak hal termasuk kerja.
“Kalau kita buat apa yang Allah suka, Insya-Allah Dia akan beri ganjaran yang lebih baik asalkan niat betul untuk mencari rezeki,” jelas Ernie.
Biarpun selesa dengan imej baharu, pelantun lagu Ku Bersuara itu mengakui berasa sedikit sesal kerana tidak bertudung dari awal dek terhalang bisikan hati yang ragu-ragu.
Mungkin seperti kebanyakan wanita lain, Ernie juga terhimpit gusar kariernya yang sedang meningkat naik bahkan mendaki ke pertandingan besar seperti Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang berlangsung pada Februari lalu akan terganggu dek hijab di kepalanya.
“Sebenarnya niat untuk bertudung muncul sejak tahun lepas tetapi waktu itu masih rasa takut, kalau-kalau akan mengganggu karier. Walhal Islam ialah agama yang sangat mudah dan memudahkan.
“Sekarang saya terfikir, kenapalah tidak pakai tudung lebih awal?
“Apa yang saya takutkan dahulu sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan pun kepada karier saya, sebaliknya banyak respons positif yang diterima daripada peminat. Alhamdulillah,” ujarnya yang bersyukur kerana diberi kekuatan untuk melakukan perubahan.

Syukur
Fitrahnya tenang berbaur bahagia meski pada awalnya masih tercari-cari kekuatan untuk memulakan langkah menemukan diri dengan penghijrahan sejati.
Kini, Ernie memanjat syukur kerana menjadi salah seorang manusia yang dipilih Tuhan untuk kembali kepada fitrah.
“Perjalanan saya masih panjang. Mohon doakan saya kuat dan sentiasa istiqamah di jalan Allah. Ketika ini saya masih mencari jawapan kepada banyak persoalan dalam diri.
“Cuma saya tidak pernah berhenti bersyukur kerana Allah jentik pintu hati saya untuk berubah. Pada usia 28 tahun, saya mengenakan hijab, syukur Allah permudahkan segalanya,” ujarnya berbaur sebak.
Manis dengan apa sahaja fesyen tudung yang digayakan, penampilan Ernie tidak hanya bersandarkan pujian ramai.
Hijrah yang dilakukannya tidak datang dengan tangan kosong, sebaliknya ada perkara yang perlu dikorbankan.
“Sewaktu belum memakai tudung, saya gemar berfesyen. Tetapi selepas berhijab, itulah pengorbanan saya.
“Tiada lagi fesyen sebegitu. Sekarang kalau keluar rumah pun saya tidak mengenakan solekan yang tebal sebab nanti sukar untuk ambil wuduk dan sebagainya.
“Perkara lain yang penting ialah pergaulan dan sikap. Mungkin dahulu tanpa sedar saya kurang jaga batas pergaulan terutama bersama rakan lelaki. Adakalanya bertepuk tampar dengan mereka.
Sekarang saya sudah tahu mengawal pergaulan,” katanya yang menyifatkan hijab yang disarungnya kini sebagai pelindung diri.
Membawa perbualan memasuki lorong terkini, pemenang Vokal Terbaik AJL32 menerusi lagu duet Aku Cinta itu sedang dengan sebuah lagu baharu yang dilancarkan pada 24 Julai lalu.

Sejak dilancarkan, lagu berjudul Boneka yang merupakan ciptaan sepenuhnya Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat tersebut menerima pelbagai respons. Bukan sahaja disebabkan melodi yang sedap didengar, penampilan unik Ernie dengan fesyen hijab pelik turut mencuri perhatian.
Awalnya dia berasa bimbang, khalayak tidak dapat menerima karya sebegitu. Namun, dengan sambutan luar jangka yang diterimanya, sementelah mencatat rangking keenam video popular dalam YouTube Isnin lalu, Ernie berasa cukup berbesar hati.
“Rupa-rupanya masyarakat kita sudah terbuka untuk menerima kehadiran karya sebegini. Saya kurang gemar untuk mencuba fesyen pelik tetapi kali ini memberanikan diri bereksperimen dan keluar dari zon selesa.
“Idea asal daripada saya kerana mahu konsep hijab pelik yang akan orang akan perkatakan. Sebenarnya konsep klip video itu tiada jalan cerita, hanyalah metafora. Penari-penari itu semua menggambarkan perasaan saya,” ujarnya yang menghabiskan masa sehari untuk menyiapkan penggambaran klip video lagu Boneka.
Kahwin
Sengaja juga soal keakrabannya dengan teman seperjuangan Syamel dibawa jadi isi diskusi. Atas kemesraan yang terpamer bersama Syamel, peminat sering menitipkan doa agar kedua-duanya bertaut kasih sebagai pasangan hidup.
Pada usia menghampiri 30-an, hati kecil wanita kelahiran Kuala Lumpur itu sebenarnya sudah lama terdetik untuk menggantikan gelaran bujang kepada seorang suri.
Bagi Ernie, perancangan sudah ada, cuma bukan dalam masa terdekat. Fokusnya buat masa ini adalah untuk menjaga kedua-dua orang tuanya.
“Kakak saya sudah kahwin, sekarang ibu dan ayah cuma ada saya untuk menjaga mereka.
“Sejujurnya perancangan untuk berkahwin memang ada tetapi bukan tahun ini. Doa-doakanlah semoga jodoh saya dipermudahkan. Mungkin tahun depan, sebab umur 29 tahun adalah waktu yang tepat tetapi semuanya Allah yang tentukan,” jelasnya.
Seperti memberi bayangan, namun tetap berkias agar tidak terlihat ketara, Ernie tidak menepis andaian khalayak bahawa Syamel mempunyai ciri-ciri suami idaman.
“Bercakap tentang kenaan calon suami, saya masih memilih dan sangat selektif tentang hal itu.
“Seperti yang kalian selalu dengar, jadi doakanlah. Semoga apa yang sering didoakan itu berjalan lancar,” katanya ringkas seraya menutup perbualan.

















