fbpx
SEBAHAGIAN daripada anggota badan manusia yang ditemui dalam perut seekor buaya.

Jumpa tangan dalam perut buaya

  • Oleh KOSMO!
  • 31 Julai 2020, 10:09 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

TANJUNG MANIS – Beberapa anggota badan seperti tulang rusuk, tapak tangan, tengkorak manusia dan sehelai baju dipercayai milik seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang hilang pada Ahad lalu ditemui di dalam perut seekor buaya tembaga di Batang Ulu Belawai di sini semalam.

Buaya sepanjang 4.6 meter itu berjaya ditangkap menggunakan pancing berumpan ayam yang dipasang Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi membu­ru buaya berkenaan dimulakan sejak pukul 8.30 pagi, iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi seorang remaja dilaporkan hilang.

Katanya, remaja berkenaan yang tinggal di Rumah Panjang Dadat di sini dilaporkan telah dibaham buaya ketika mangsa sedang mencari siput pada 26 Julai lalu.

“Selepas 45 minit umpan dipasang, kita berjaya menangkap seekor buaya berukur lilit 1.7 meter pada mata pancing.

“Buaya tersebut telah dinaikkan ke darat berhampiran Rumah Panjang Dadat dan perut haiwan itu dibelah di depan pegawai polis, keluarga mangsa serta penduduk kampung,” katanya di sini semalam.

BUAYA tembaga yang ditangkap di Batang Ulu Belawai, Mukah semalam.

 

Ling Hii berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui baju serta beberapa anggota badan manusia di dalam perut buaya berkenaan.

Antara anggota badan yang ditemui ialah tulang rusuk, tulang betis, tapak tangan dan serpihan dipercayai tengkorak.

“Berdasarkan baju tersebut, kita percaya itu adalah pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian.

“Bagaimanapun, atas permintaan keluarga, pihak berkuasa tetap menjalankan operasi mencari mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi Ahad lalu, seorang remaja berusia 14 tahun dilaporkan telah dibaham buaya ketika sedang mencari siput bersama ibu saudara dan dua lagi rakannya di sungai berhampiran Rumah Panjang Dadat di sini.

Pihak berkuasa juga menemui kesan gigitan buaya pada pokok bakau di lokasi ­mangsa diseret ke dalam sungai. – K! ONLINE