fbpx

Axiata terbit sukuk AS$1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd. (Axiata) bakal menerbitkan sukuk berjumlah AS$1 bilion (RM4.25 bilion) bertempoh sehingga 30 tahun yang dijangka dimuktamadkan bulan depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, pihaknya telah melantik empat buah bank untuk menguruskan penawaran sukuk tersebut iaitu CIMB Bank, Standard Chartered, UBS dan Citigroup.

Jelasnya, sebahagian besar daripada dana yang dijana akan digunakan untuk pengurusan aset dan liabiliti syarikat.

“Kini pasaran modal penuh dengan penawaran daripada banyak syarikat korporat untuk meraih dana dan ini merupakan satu peluang yang menarik bagi kami.

“Separuh daripada dana tersebut adalah untuk tujuan pembiayaan semula, namun sekiranya anak syarikat kami menginginkan modal dan Axiata dapat membuat pinjaman pada kos lebih rendah, adalah logik bagi kami menjana dana sebelum meminjamkannya kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Menara Axiata di sini sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata Ke-28 semalam.

Turut hadir Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris.

Menurut Jamaludin, pihaknya tidak dapat mengelak daripada impak negatif Covid-19 namun Axiata optimis berada pada posisi terbaik untuk meraih keuntungan daripada norma baharu pasca pandemik berkenaan dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau, syarikat memberikan data percuma satu gigabait seorang sehari di Malaysia ketika pandemik dan ia membawa kepada kos kehilangan peluang sebanyak RM300 juta sebulan.

“Di Indonesia jumlahnya lebih banyak iaitu dua gigabait sehari, malah di banyak negara mereka tidak boleh membuat tambah nilai pada telefon mereka kerana tiada ketersambungan online seperti di negara ini.

“Namun kita telah menyaksikan peningkatan penggunaan data antara 20 hingga 40 peratus akibat pandemik.

“Apabila perniagaan pulih dan pelanggan serta peniaga semakin bergantung kepada perkhidmatan online untuk menjalankan urusan kami akan mula meraih keuntungan, mungkin dalam tempoh setahun atau 18 bulan akan datang,” katanya.

Axiata dengan Khazanah Nasional Bhd. sebagai pemegang saham utama turut memiliki kepentingan kawalan dalam firma telekomunikasi di Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI