fbpx

Masa depan Kasma kelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KASMA (depan) yang beraksi dalam kelas Moto2 mungkin tidak dapat bersaing lagi pada saingan MotoGP selepas TKKR hilang penaja yang menarik diri pada saat-saat akhir.

IBARAT melukut di tepi gantang. Itulah yang dialami pasukan TKKR SAG Racing Team yang berdepan masalah kewangan­ selepas penaja menarik diri pada saat-saat akhir untuk meneruskan tajaan ke­pada pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin yang beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2.

Difahamkan, TKKR memerlukan penajaan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk memastikan pelumba muda negara itu terus beraksi dan mengutip pengalaman di pentas antarabangsa tersebut.

Prinsipal pasukan, Bobby Farid Shamsuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan penarikan penaja berkenaan kerana ketika ini semua syarikat terkesan dengan wabak Covid-19.

Jelasnya, pihaknya berusaha mencari pengganti penaja ber­kenaan dan jika mereka tidak berjaya kemungkinan pelumbanya tidak dapat meneruskan saingan pada kejuaraan dunia tersebut.

“Pada saingan tempatan iaitu Cub Prix, kami tiada masalah kewangan kerana semua sudah mempunyai dana yang telah disediakan sebelum ini. Mereka juga tampil dengan aksi yang terbaik ketika pusingan per­tama di Sepang minggu lalu.

“Masalah yang kami hadapi ketika ini adalah saingan perlumbaan MotoGP dalam kelas Moto2 yang diwakili pelumba Malaysia sendiri. Sayang jika kita tidak dapat bantu pelumba muda negara ini.

“Kami tidak boleh buat apa-apa kerana penaja berkenaan terpaksa menarik diri kerana mengalami masalah kewangan akibat Covid-19. Keadaan itu memberi masalah dalam pengurusan pasukan terutama membeli peralatan jentera dan membayar gaji staf.

“Selain itu, Kasma juga terpaksa guna casis lama dan akan terdapat perbezaan 1 saat de­ngan pelumba lain. Kita juga sudah menempah casis baharu tetapi sayang tidak dapat digunakan kerana bajet terhad.

“Jika dalam tempoh 14 hari kami masih gagal mendapatkan dana RM3 juta itu, maka dengan berat hati kami terpaksa menarik diri daripada saingan MotoGP dan berusaha dengan cara lain,” katanya.

Bobby juga menegaskan, pihaknya dalam usaha mencari penaja baharu dan mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja untuk membantu pelumba muda negara ini.

“Kita membuka pintu buat semua syarikat tempatan, korporat atau syarikat milik kerajaan (GLC). Jika kita dapat sedikit bantuan, mungkin sedikit sebanyak membantu pengurusan pasukan. Jika tidak dapat penaja­ kemungkinan kita terpaksa menarik brek tetapi saya tidak mahu perkara itu berlaku.

“Apa pun kita ucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menaja Kasma dari segi perjalanan pelumba kita,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI