fbpx

Kematian denggi melebihi kes Covid-19 di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Rakyat di negeri ini termasuk perantau yang bakal pulang menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pada musim perayaan kali ini, Kelantan bukan sahaja berdepan pandemik Covid-19 malah diancam wabak demam denggi yang menunjukkan peningkatan.

“Bahaya denggi sama seperti Covid-19 kerana jangkitan itu turut meragut nyawa di negeri ini. Empat orang meninggal dunia disebabkan denggi manakala tiga orang maut akibat Covid-19.

“Saya harap sangat kita semua tidak mengambil ringan aspek SOP kerana ini salah satu usaha untuk mencegah Covid-19 di samping terus menjaga keselamatan serta kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta terhadap tanah air dalam kalangan rakyat.

“Kita juga mahu mengajak rakyat menghargai pengorbanan generasi terdahulu, termasuk golongan ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Berdasarkan rekod, Kelantan mempunyai dua kes aktif Covid-19 dan jumlah kes terkumpul pula mencecah 160 dengan tiga kematian setakat semalam.

Bagi kes demam denggi pula, Kelantan merekodkan sebanyak 66 lokaliti wabak aktif dengan empat kematian sehingga hari ini. – K! ONLINE.

POPULAR