Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR dan ZULHANIFA SIDEK
BANGI – “Belum sempat letak (emas) di atas dulang, barang kemas telah habis dijual.”
Itu luahan Pengarah Urusan Emas SY Fawwaz, Suhaida Yusoff terhadap situasi semasa industri tersebut yang menyaksikan permintaan terhadap barang kemas meningkat luar biasa, bagaikan satu kegilaan.
Katanya, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan membeli emas sebagai pelaburan juga antara faktor perhiasan itu menjadi rebutan ramai selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksana pada 4 Mei lalu.
“Kami menawarkan pelbagai koleksi barang kemas, antaranya yang popular ialah rekaan pulut dakap rerama, biskut tawar dan roti bun. Semuanya laris sehingga pekerja kami tidak menang tangan melayan pelanggan.
“Malah, ada ketikanya belum sempat kami meletakkan emas di atas dulang, ia telah dibawa pergi oleh kurier ke rumah pelanggan yang telah membuat tempahan,” katanya kepada Kosmo! di premisnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Suhaida berkata, mereka menjual kira-kira dua hingga lima kilogram (kg) emas sehari menyebabkan pihaknya terpaksa mendapatkan semula bekalan barang kemas dalam tempoh yang singkat.
Katanya, antara faktor lain barang kemas di kedainya laris adalah disebabkan harga murah yang ditawarkan iaitu RM261 segram dan bayaran upah adalah percuma.
Jurucakap Angsa Emas Jewellery Sdn. Bhd. pula berkata, jumlah pelanggan di kedainya juga meningkat dua kali ganda selepas mereka menyambung kembali perniagaan sejak Mei lalu.
“Sebaik sahaja kami memuat naik gambar set barang kemas di media sosial, pengguna yang melihatnya terus sahaja menghubungi kami dan melakukan pembelian.
“Ada pelanggan yang cuba menghubungi kami lebih 200 kali memandangkan talian terlalu sibuk,” ujarnya.
Katanya, kebimbangan terhadap kenaikan harga emas juga menjadi sebab barang kemas kini menjadi kegilaan ramai.
“Kita juga mendapati, ramai pelanggan yang membeli barang kemas kerana mereka mempunyai lebihan wang akibat daripada pelaksanaan moratorium,” katanya.
Di Kelantan, pemilik Wanie’s Faizal Gold & Diamond, Azni Sharif, 41, memberitahu, premisnya di Kota Bharu juga masih dikunjungi ramai pelanggan seperti rakan-rakan niaganya di sekitar Lembah Klang.
“Saya percaya orang ramai berpusu-pusu untuk membeli emas sekarang kerana bimbang harga emas semasa akan sentiasa melonjak sehingga tahun 2021,” katanya.














