fbpx

Tiga filem ‘PKP’ Astro Shaw ke pawagam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syif Malam Raya antara filem terbitan Astro Shaw yang akan ditayangkan di pawagam.

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda sokongan penuh kepada pihak pawagam, syarikat penerbitan filem, Astro Shaw mengambil satu lagi langkah inisiatif dengan membawakan filem-filem hebat ke pawagam.

Menariknya, kali ini Astro Shaw memperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah industri filem tempatan membawakan filem-filem hebat yang pernah ditayangkan di Astro First semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu ke pawagam.

Langkah strategik berkenaan akan dimulakan dengan penayangan filem terbaharu iaitu Syif Malam Raya pada 30 Julai, Ada Apa Dengan Dosa bermula (10 September) dan Town Mall (1 Oktober).

Ketiga-tiga filem telah melakar kejayaan tersendiri di Astro First. Syif Malam Raya, sebagai contoh, berjaya meraih RM3 juta dalam hanya tempoh 10 hari dan hal itu adalah satu pencapaian luar biasa bagi platform Astro First.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, apabila pihak kerajaan membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai lalu sudah tentu perkara itu merupakan satu perkhabaran gembira.

“Sebagai tanda sokongan Astro kepada pawagam, kami bawakan khas tiga buah filem hebat untuk ditayangkan di layar besar. Ketiga-tiga filem berbeza genre ini telah mencetus fenomena apabila berjaya mengungguli kutipan tinggi di carta Astro First.

“Kami mengharapkan inisiatif ini dapat merancakkan kembali industri perfileman tempatan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! hari ini.

Raja Jastina

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong usaha Astro dalam membantu penjanaan semula industri perfileman dan pawagam.

“Sudah menjadi tanggungjawab Finas dalam membantu penggiat seni dan pawagam yang terjejas dari pasca Covid -19. Apabila pihak Astro mengemukakan langkah pro-aktif ini, pastinya kami menyambut dengan rasa berbesar hati untuk sama-sama merancakkan semula ekonomi filem tanah air. Idea dan konsep yang diperkenalkan oleh Astro ini adalah sesuatu yang baru dan bagus buat industri.

“Jadi, pihak kami memainkan peranan dengan menyokong dalam perlaksanaannya. Kami harap inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu penerbit filem dan pihak pawagam, malah menjadi motivasi kepada penerbit filem tempatan untuk terus menghasilkan lebih banyak filem berkualiti meskipun dalam keadaan normal baharu sekarang ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI